Oleh PM Dr. Wan Hanim Nadrah Wan Muda, Suriayati Baharom

BATU PAHAT, 6 Dis 2023 – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun ini berjaya lahirkan lima graduan sulung bagi program Doktor Pendidikan (Ed.D) secara kerja kursus.

Graduan tersebut terdiri daripada mereka yang berlatarbelakangkan bidang pendidikan iaitu guru sekolah dan pensyarah universiti.

Program Ed.D, FPTV itu dilaksanakan selari dengan visi dan misi UTHM yang berhasrat melahirkan ahli profesional yang berdaya saing dan mempunyai nilai etika kerja yang tinggi untuk membantu pembangunan dan kelestarian negara.

Selain itu, program Doktor Pendidikan itu juga bertujuan menambah nilai kepakaran graduan bagi menghadapi cabaran dan perkembangan industri yang bersifat kompetitif.

Program yang dilaksanakan secara kerja kursus selama tiga tahun itu menuntut pelajar tahun akhir menyelesaikan ‘disertasi’ yang menjadi satu cabaran kepada mereka sebelum bergelar Doktor Pendidikan.

Kandungan program disusun agar graduan dapat berdaya saing dan setanding dengan program berkaitan yang sedang dijalankan di mana-mana universiti tempatan dan luar negara.

Program Ed.D di UTHM ini berpotensi untuk melahirkan lebih ramai lagi profesional dan tenaga mahir dalam bidang pendidikan sekali gus berupaya mengaplikasikan ilmu dan kemahiran selaras dengan dasar keperluan negara.

Kelahiran sulung program ini diharap dapat menyumbang kepada perubahan positif dalam dunia pendidikan masa kini.

UTHM mengucapkan tahniah kepada para graduan Doktor Pendidikan yang bergraduasi dalam Istiadat Konvokesyen UTHM ke-23 pada 02 Disember 2023 lalu.