Oleh Khadijah Md Ariffin dan Rozilah Kasim

BATU PAHAT – Bagi menggalakkan anak masyarakat Orang Asli melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan Program Transisi Anak Orang Asli Batu Pahat dan Pontian yang bertemakan ‘Kuk Gemar Ke Sekolah – Sifar Ponteng’ pada 21 April 2024 lalu.

Program anjuran Pusat Penyelidikan Perkhidmatan Harta Tanah, Projek dan Pengurusan Fasiliti (PRoFMs), FPTP itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli Batu Pahat/ Pontian.

Program yang diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah dan sekitar kampus induk itu bertujuan untuk meningkatkan jumlah anak orang asli meneruskan persekolahan dari darjah enam ke tingkatan satu.

Program yang telah disertai oleh 37 anak-anak orang asli itu juga diisi dengan slot motivasi, pemberian kit persekolahan dan sijil, lawatan sekitar kampus serta Makmal Dron Kargo (C-DRONE), UTHM.

Berpeluang melihat sendiri dron kargo bersaiz besar pertama di Malaysia yang dicipta oleh sekumpulan penyelidik UTHM itu menjadikan program tersebut sangat bermakna kepada anak-anak Orang Asli terbabit.

Sementara itu, Dekan FPTP, Profesor Madya Dr. Shafie Mohamed Zabri turut hadir menyempurnakan majlis perasmian yang diadakan pada hari yang sama.

Hadir sama, Pengarah JAKOA Negeri Johor, Faisal Long; Pegawai Kemajuan Orang Asli Batu Pahat/Pontian, Mohd Yazid Beram; Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat dan Pontian serta Tok Batin kampung Orang Asli daerah Batu Pahat dan Pontian.

Ketua Pusat PRoFMs, Prof. Sr Dr. Rozilah Kasim berkata program itu merupakan program sulung bersama pihak JAKOA pada tahun ini dan PRoFMs berhasrat untuk bekerjasama lagi pada masa akan datang untuk mencapai sasaran yang lebih besar.

“Pihak universiti sentiasa bersedia untuk memberi khidmat kepada masyarakat sekeliling dan program ini diharap dapat meningkatkan lagi motivasi anak-anak Orang Asli untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kelak,” katanya.