Oleh Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah

PAGOH – Seramai 581 pelajar sekolah sekitar daerah Muar, Johor diberi pendedahan keusahawanan melalui bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) ketika menyertai program FAST STEMpreneurship 2.0 pada 22 Jun 2022 lalu bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh, Muar.

STEMpreneurship ini merupakan satu program perniagaan yang berasaskan STEM yang melibatkan inovasi dalam bidang sains dan teknologi.

Program anjuran pelajar kelas Keusahawanan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) ini memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah rendah dan menengah bagaimana bidang STEM boleh menjana pendapatan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Muar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Haji Roslan Atan hadir menyempurnakan program ini.

Beliau sangat teruja dengan usaha pelajar UTHM memberi pendedahan keusahawanan dalam bidang STEM kepada pelajar sekolah.

“Saya berharap program sebegini dibuat secara berkala bagi membantu pelajar sekolah lebih memahami bidang STEM ini,” katanya.

Sementara itu Dekan FAST, Profesor Madya Dr. Mohamad Zaky Noh pula berkata ini merupakan kali pertama program anjuran FAST menerima penyertaan paling ramai.

“Keterujaan pihak sekolah untuk melihat konsep keusahawanan yang ditonjolkan dalam bidang STEM menjadi penyebab kenapa sambutan daripada pihak sekolah sangat menggalakkan,” kata beliau yang turut sama membantu pensyarah dan pelajar membuat persiapan terakhir.

Kesemua pelajar sekolah sangat teruja dan gembira ketika melihat demonstrasi penyediaan sabun, terrarium, kereta solar robotik dan permainan menggunakan kemahiran matematik.

Lebih manis lagi, program ini juga turut mendapat kerjasama dengan syarikat PLUS Expressway Berhad dengan memberi diskaun pemasangan RFID secara percuma sekiranya membeli kad RFID di gerai yang tersedia sepanjang program ini berlangsung.

STEMpreneurship 2.0 merupakan program yang melibatkan kerjasama semua program pengajian FAST.

FAST berharap siri penganjuran program ini akan dapat diteruskan lagi untuk mendekatkan UTHM dengan komuniti setempat dan seterusnya meningkat visibiliti universiti di mata umum.

 

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 30 Jun 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/gen-alpha/581-pelajar-sekolah-diberi-pendedahan-keusahawanan-melalui-stem/