Oleh Dr. Hana Syafiqah Sayeed Ibrahim, Dr. Noorakmar Ab Wahab
PAGOH – Sebagai langkah proaktif dalam melahirkan modal insan yang serba boleh dan kalis masa hadapan, Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dengan kerjasama strategik Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ) telah menganjurkan Kursus Kompetensi Sertu bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Kampus Cawangan Pagoh pada 13 Jun 2026 lalu.
Kursus tersebut disertai oleh 42 mahasiswa dari program Sarjana Muda Sains (Teknologi Makanan) dengan Kepujian bagi melengkapkan diri mereka dengan kemahiran industri di luar bilik kuliah.
Kursus intensif itu diisi dengan slot ‘Fiqh Sertu’ yang disampaikan oleh Pengajar dan Jurusertu Profesional, Dr. Wan Ainaa Mardhiah Wan Zahari bagi memberi pendedahan holistik berkaitan rukun, syarat, serta konsep asas penyucian najis mughallazah (najis berat) mengikut perspektif Islam.
Bagi mengukuhkan pemahaman sertu dengan lebih mendalam, program diisi dengan slot kedua bertajuk ‘Aplikasi Sains dalam Sertu’ bersama Profesor Madya Dr. Balkis binti A. Talip. Bagi membantu peserta memahami signifikansi dan hikmah amalan sertu berasaskan kajian biologi serta kimia moden.
Kemuncak program menyaksikan para peserta beralih ke Makmal Pembangunan Produk Makanan, UTHM bagi menjalani sesi praktikal yang dikendalikan oleh Dr. Nur Zainatul Nadra binti Zaino.l
Proses amali tersebut dijalankan secara komprehensif, bermula daripada tatacara pemakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang betul, kaedah bancuhan air tanah mengikut sukatan syarak dan teknik menyuci aset, peralatan dan mesin berskala besar seperti Spray Dryer, Smoke House, Fridge, Gas Stove with Oven, Fish Deboner, Plate-Heat Exchanger, Autoclave, dan Ice Maker Machine.
Menariknya, sesi praktikal itu turut dipantau dan dinilai secara langsung oleh Pengarah ISWAJ, Profesor Madya Dr. Khairun Nidzam Ramli, bersama Penolong Pengarah Unit Penguatkuasaan dan Pemantauan, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Ustaz Haji Muhammad Suhadi Mesran.
Kehadiran wakil JAINJ itu bagi memastikan setiap langkah penyucian yang dilakukan mematuhi piawaian dan garis panduan tegar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.
Penilaian langsung daripada pihak JAINJ itu secara tidak langsung dijadikan penanda aras yang sebenar, yang menyamai proses audit halal rasmi yang dilakukan di premis-premis kilang sebenar.
Di penghujung kursus, para peserta diwajibkan menduduki sesi penilaian khas bagi melayakkan mereka menerima sijil kompetensi sebagai Jurusertu Bertauliah.
Penganjuran kursus hasil sinergi FAST dan ISWAJ itu diharap dapat melahirkan modal insan yang seimbang, bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, malah mahir dalam mengintegrasikan nilai praktikaliti hukum syarak.
Dekan FAST, Profesor Madya Ts. Dr. Noor Azura Awang berkata pengiktirafan sijil kompetensi yang relevan dengan kehendak industri makanan halal global itu dijangka akan menjadi nilai tambah (value-added) yang signifikan.
“Langkah proaktif ini sekali gus membuka ruang yang lebih luas bagi penempatan latihan industri bertaraf tinggi, serta menjamin peluang kerjaya yang lebih cerah buat bakal graduan serta alumni UTHM untuk bergelar Eksekutif Halal atau Juruaudit Halal profesional pada masa hadapan,” katanya.



