Oleh Hamizah Mohd Safuan, Stefanie Leong Hui Qi
Dalam usaha memperkasakan pendidikan matematik serta merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dan luar bandar, satu inisiatif proaktif gabungan usaha guru dan ibu bapa Sekolah Kebangsaan Kota Raja, Panchor, Muar, Johor telah dilaksanakan menerusi penganjuran Bengkel Kangaroo Math “Think Like A Pro” pada 18 April 2026.
Pelajar program Matematik Teknologi dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut menjadi pemangkin kejayaan bengkel itu dengan bertindak sebagai fasilitator bagi membantu para peserta .
Program itu memberi pendedahan awal kepada murid sekolah luar bandar teknik penyelesaian masalah matematik aras tinggi, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menyertai pertandingan matematik bertaraf antarabangsa.
Bengkel itu dirangka khusus untuk memperkenalkan format dan gaya soalan pertandingan Kangaroo Math yang terkenal dengan pendekatan penyelesaian masalah secara kreatif dan kritis.
Program yang dikendalikan oleh BinaMinda Sdn. Bhd. itu memberi pendedahan kepada peserta berkaitan strategi berfikir di luar kotak, teknik mengenal pola, serta kaedah menjawab soalan secara kritikal.
Menurut Pengurus BinaMinda, Muhammad Zafree Zaharidan ‘Kangaroo Math Competition’ yang berasal dari Perancis merupakan pertandingan Matematik tahunan yang terbesar di dunia dengan disertai oleh lebih 6 juta peserta dari 82 negara pada tahun 2021.
“Kangaroo telah dianjurkan di Malaysia sejak tahun 2013 dan pada tahun 2021, lebih 50,000 pelajar dari seluruh Malaysia telah menyertai Kangaroo,” katanya.
Sementara itu, Ketua Panitia Matematik sekolah berkenaan, Cikgu Heriansyah Hamsyah pula berkata selain penyertaan yang menggalakkan tahun ini berjumlah hampir 80 orang merangkumi murid tahun 1 hingga tahun 6.
“Program ini juga berjaya menarik minat beberapa peserta dari luar SK Kota Raja yang kini sudah berjinak dengan pertandingan akademik di peringkat antarabangsa dan menduduki ujian Kangaroo Math di sekolah ini sebagai pusat ujian di kawasan Pagoh pada 22 April 2026,” katanya.
Selain itu, fasilitator dari FAST pula memain peranan dengan membimbing peserta secara dekat serta memberikan motivasi agar murid berani mencabar diri dalam pertandingan antarabangsa.
“Penganjuran bengkel ini juga sejajar dengan aspirasi untuk melahirkan generasi murid yang berdaya saing di peringkat global.
“Dengan pendedahan awal kepada pertandingan seperti Kangaroo Math, murid luar bandar kini mempunyai peluang yang lebih luas untuk mengembangkan potensi diri serta mencipta kejayaan di persada antarabangsa,” kata Profesor Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan, selaku penyelaras program.
Bengkel Kangaroo Math “Think Like A Pro” bukan sekadar program, tetapi merupakan platform yang memberi ruang dan peluang bagi bakat kecil untuk menonjolkan diri mereka dalam bidang matematik.
“Diharapkan lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat diperluaskan agar tiada murid yang tercicir daripada arus kecemerlangan pendidikan global,” tambah beliau.





