Dalam dunia yang semakin mencabar, pendidikan bukan lagi sekadar tiket untuk mendapatkan pekerjaan, tetapi menjadi cahaya yang menerangi perjalanan hidup manusia. Ilmu yang dituntut dengan niat yang betul bukan sahaja mengangkat darjat seseorang di sisi masyarakat, bahkan lebih utama, meninggikan kedudukannya di sisi Allah SWT. Justeru, ungkapan “Ilmu di menara gading memanusiakan insan membawa ke syurga” bukanlah sekadar kata-kata indah, tetapi satu hakikat yang perlu difahami oleh seluruh rakyat Malaysia.
Sejak dahulu lagi, Islam meletakkan ilmu sebagai asas pembinaan tamadun. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W adalah perintah membaca merupakan satu simbol bahawa ilmu menjadi kunci kepada perubahan diri dan masyarakat. Dalam konteks hari ini, menara gading merujuk kepada institusi pengajian tinggi yang menjadi pusat penyebaran ilmu, penyelidikan dan pembentukan jati diri insan.
Melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi bukan bermakna mengejar gelaran semata-mata, tetapi merupakan usaha memperkasa diri dengan kefahaman yang lebih mendalam tentang dunia, masyarakat dan agama. Individu yang berilmu mampu membuat keputusan yang bijak, menilai maklumat dengan kritis dan menyumbang kepada kesejahteraan negara. Lebih penting, ilmu yang diberkati menjadi wasilah mendekatkan diri kepada Allah SWT kerana ia mengajar manusia mengenal hakikat kehidupan dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi.
Hari ini, negara giat memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu ekonomi. Bidang ini amat penting kerana ia melahirkan tenaga mahir yang menyokong pembangunan industri dan teknologi negara. Tanpa kepakaran teknikal, sukar bagi sesebuah negara untuk bergerak maju. TVET membuka ruang kepada golongan muda membina kerjaya yang stabil, berkemahiran tinggi dan relevan dengan keperluan pasaran.
Namun, dalam keghairahan memperkukuh TVET, masyarakat tidak harus melihat pendidikan tinggi sebagai sesuatu yang terpisah atau tidak penting. Hakikatnya, kedua-duanya saling melengkapi. TVET membina kemahiran tangan dan kepakaran praktikal, manakala pendidikan di menara gading membentuk pemikiran, nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan membuat keputusan.
Seorang jurutera bukan sekadar mahir mengendalikan mesin, tetapi perlu memahami etika, keselamatan, impak sosial dan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Seorang teknologis bukan sekadar mencipta inovasi, tetapi harus menilai kesannya terhadap manusia. Di sinilah peranan pendidikan tinggi yang mampu memanusiakan insan. Ia membentuk individu yang bukan sahaja cekap bekerja, tetapi juga berakhlak, berintegriti dan berwawasan.
Ilmu di universiti juga membuka ruang kepada penyelidikan dan inovasi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat. Banyak penyelesaian kepada masalah negara lahir daripada kajian akademik hasil daripada teknologi pertanian pintar, perubatan moden, sehinggalah kepada penyelesaian sosial seperti pengurusan komuniti dan pembangunan ekonomi setempat. Semua ini menunjukkan bahawa menara gading bukanlah tempat yang terpisah daripada rakyat, sebaliknya menjadi pusat idea yang memacu kemajuan negara.
Lebih penting, pendidikan tinggi membina kesedaran spiritual. Individu yang menuntut ilmu dengan niat kerana Allah akan melihat pembelajarannya sebagai ibadah. Setiap buku yang dibaca, setiap penyelidikan yang dijalankan dan setiap ilmu yang dikongsi menjadi amal jariah yang berterusan. Rasulullah S.A.W menyebut bahawa apabila seseorang meninggal dunia, terputus amalnya kecuali tiga perkara, salah satunya ialah ilmu yang bermanfaat. Ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan ilmu dalam Islam.
Masyarakat Malaysia perlu mengubah persepsi bahawa melanjutkan pelajaran hanya untuk golongan tertentu. Pendidikan tinggi bukan hak eksklusif mereka yang cemerlang akademik semata-mata, tetapi peluang untuk semua yang berusaha. Dengan pelbagai laluan kemasukan, biasiswa, pinjaman pendidikan dan program fleksibel, peluang terbuka luas untuk rakyat meningkatkan tahap pendidikan mereka.
Ibu bapa pula memainkan peranan penting dalam menanamkan kesedaran tentang kepentingan ilmu. Anak-anak perlu dibimbing agar melihat pendidikan sebagai jalan membina masa depan dunia dan akhirat. Apabila generasi muda memahami bahawa belajar adalah ibadah, mereka akan lebih bersemangat menuntut ilmu dan tidak mudah berputus asa.
Pada masa yang sama, institusi pendidikan tinggi juga perlu memastikan ilmu yang disampaikan bukan sekadar teori, tetapi relevan dengan realiti masyarakat. Kurikulum perlu menggabungkan nilai kemanusiaan, etika profesional dan kesedaran spiritual agar graduan bukan sahaja pintar, tetapi juga berhati mulia. Inilah ciri insan seimbang yang diimpikan oleh falsafah pendidikan negara.
Malaysia sedang menuju ke arah negara berpendapatan tinggi dan berteknologi maju. Untuk mencapai matlamat ini, negara memerlukan rakyat yang bukan sahaja mahir, tetapi juga berilmu tinggi, berakhlak dan berdaya fikir. Menara gading perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara sebagai tempat lahirnya pemimpin, penyelidik, inovator dan pendidik yang membentuk masa depan bangsa.
Akhirnya, ungkapan “Ilmu di menara gading memanusiakan insan, membawa ke syurga” harus difahami dalam makna yang luas. Ia bukan bermaksud universiti semata-mata menjamin kejayaan dunia, tetapi ilmu yang dituntut dengan niat ikhlas akan membawa manusia kepada kehidupan yang lebih bermakna, berkat dan diredai Allah SWT. Ilmu yang benar menjadikan manusia lebih rendah hati, lebih bertanggungjawab dan lebih dekat dengan Penciptanya.
Justeru, marilah kita bersama-sama membina budaya ilmu dalam masyarakat. Sokonglah usaha anak-anak melanjutkan pelajaran, hargailah peranan institusi pengajian tinggi dan tanamkan keyakinan bahawa menuntut ilmu adalah perjalanan suci menuju kejayaan dunia dan akhirat. Sesungguhnya, apabila ilmu dipandu iman dan amal, menara gading bukan sekadar tempat belajar, tetapi tangga menuju syurga.

Dr. Anim Zalina Azizan
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 22 April 2026: Ilmu di menara gading memanusiakan insan, membawa ke syurga
https://malaysiagazette.com/2026/04/22/ilmu-di-menara-gading-memanusiakan-insan-membawa-ke-syurga/
