Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini mempamerkan pencapaian yang memberangsangkan apabila seramai 366,435 calon atau 94.29 peratus layak menerima sijil, meningkat berbanding tahun sebelumnya. Malah, keputusan tahun ini turut mencatat prestasi terbaik dalam tempoh lima tahun dengan peningkatan keseluruhan pencapaian pelajar. Namun, di sebalik kebanggaan angka ini, wujud satu realiti yang perlu diberi perhatian serius: tidak semua pelajar menguasai kecemerlangan akademik yang menekankan aspek teori untuk meneruskan pengajian ke universiti melalui laluan konvensional. Bagi kelompok pelajar ini, keputusan SPM wajar menjadi titik refleksi untuk meneroka hala tuju yang lebih serasi dengan potensi dan bakat diri. Di sinilah persoalan penting timbul: adakah TVET masih sekadar laluan alternatif, atau sudah tiba masanya ia diangkat sebagai pilihan utama?
Hakikatnya, keputusan SPM bukanlah penentu mutlak kejayaan masa depan. Individu yang kurang menyerlah dalam akademik, tetapi berbekalkan kemahiran tinggi tetap mempunyai peluang kejayaan yang setanding. Sahsiah yang terpuji serta kesediaan untuk terus belajar merupakan “enjin” sebenar yang memacu kejayaan, baik di dunia mahupun di akhirat. Kini, semakin ramai lepasan SPM memilih laluan TVET sebagai platform utama untuk membina kerjaya yang lebih praktikal dan berdaya saing. Berdasarkan statistik Majlis TVET Negara, penyertaan pelajar ke dalam bidang ini telah melonjak drastik dari 190,000 orang (tiga tahun lepas) kepada 439,000 orang pada tahun 2025. Keputusan SPM 2025 turut merekodkan peningkatan prestasi bagi mata pelajaran berkaitan bidang kemahiran teknikal, menandakan minat dan potensi pelajar terhadap bidang TVET semakin berkembang. Lebih menarik, transisi kecenderungan pelajar ini amat bertepatan dengan keperluan kebolehpasaran industri semasa. Prospek kerjaya lepasan TVET kini tidak lagi terhad kepada kerja teknikal asas seperti pembaikan kenderaan atau pertukangan. Sebaliknya, ia telah berevolusi ke arah sektor industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi high-growth high value (HGHV) yang kini merekodkan permintaan tinggi oleh pihak majikan. Kepakaran khusus dalam cabang HGHV merangkumi bidang industri berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, perindustrian dan asas tani, dan industri nadir bumi,. Oleh yang demikian, persepsi bahawa kegagalan dalam akademik bermakna masa depan yang suram wajar dipadamkan sepenuhnya.
Realiti ini membuktikan bahawa sistem pendidikan negara tidak lagi relevan jika hanya bergantung kepada laluan akademik konvensional. Sebaliknya, TVET perlu diperkasakan sebagai satu arus perdana yang berprestij, bukan lagi sekadar pelengkap. Selama ini, keputusan SPM sering dijadikan pengukur yang menghadkan takrifan “kejayaan,” lantas meminggirkan kepelbagaian potensi, bakat dan minat pelajar yang tidak dapat diukur semata-mata atas kertas peperiksaan. Pelajar yang kurang menyerlah secara teori mudah dilabelkan kurang berjaya, sedangkan mungkin mereka memiliki kecerdasan teknikal yang bertepatan dengan laluan TVET. Justeru, pengumuman keputusan SPM setiap tahun seharusnya menjadi titik anjakan paradigma dalam cara kita melihat hala tuju masa depan. Ia bukan sekadar pentas pengiktirafan pencapaian akademik, tetapi ruang untuk melihat ekosistem pendidikan negara yang lebih inklusif, fleksibel dan meraikan kepelbagaian kecerdasan.
Kerajaan telah menterjemahkan komitmen yang jitu dengan menyasarkan peningkatan penyertaan pelajar dalam TVET menerusi peruntukan belanjawan khusus, selari dengan keperluan tenaga kerja mahir negara. Namun, usaha ini perlu disokong oleh perubahan persepsi masyarakat, sinergi industri yang lebih erat, serta pemerkasaan kualiti program TVET secara berterusan. Kesimpulannya, keputusan SPM bukanlah titik noktah, tetapi batu loncatan ke arah pelbagai dimensi kejayaan. Dalam landskap dunia yang kompetitif dan dipacu oleh kemahiran teknikal, TVET bukan lagi laluan alternatif. Sudah tiba masanya ia diangkat sebagai pilihan utama, bukan kerana terpaksa atau pilihan terakhir, tetapi kerana kekuatan sebagai pemacu masa depan negara.

Ts. Dr. Mazniha Berahim
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Ts Dr. Mazidah Mat Rejab
Pensyarah Kanan
Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
