Oleh Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Bagi memastikan aktiviti penyelidikan dan akademik pada era pandemik ini diuruskan dengan lebih berkesan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) di bawah Jawatankuasa Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan telah mengambil inisiatif menganjurkan sesi webinar yang bertajuk “Managing Academic Work and Research During Pandemic.

Penganjuran webinar kali ini agak berbeza kerana ia bukan sahaja melibatkan barisan penceramah berpengalaman dari UTHM tetapi juga penceramah dari dua universiti luar negara iaitu Queensland University of Technology (QUT) dan Victoria University(VU), Australia.

Program perkongsian ilmu selama dua jam yang diselaraskan oleh moderatornya, Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom melibatkan tiga segmen bersama tiga panel jemputan.

Panel pertama menampilkan Profesor Madya Dr.Ania Wiewiora yang merupakan seorang pensyarah yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran  luas dalam bidang kajian pengurusan, terutamanya perkongsian pengetahuan (knowledge sharing).

Beliau yang juga aktif menjalankan kajian berteraskan pengurusan aset, pengurusan projek dan inovasi ini telah berkongsi pengalaman melalui pembentangan yang bertajuk “Challenges in qualitative data collection in the COVID-19”.

Beliau yang juga terkesan dengan pandemik ini berkongsi pengalamannya dalam mengumpul data kajian di beberapa buah negara membangun yang rata-ratanya mempunyai akses internet yang tidak stabil serta perbezaan masa dan jarak yang jauh.

Pembentangan Dr. Ania yang berkisarkan kisah dan pengalaman beliau sepanjang melaksanakan kajian kualitatif secara kajian kes di Bolivia dan Australia telah menerima maklum balas yang sangat positif dari peserta webinar. Segmen kedua pula menampilkan Dr. Melissa Chan, Pensyarah di Built Environment, School of Engineering and Science, Victoria University.

Beliau yang pernah terlibat dalam industri pembinaan sebagai Pengurus Perolehan telah berkongsi idea dan pandangan berkaitan topik “Best Practices For Working Remotely From Home During Pandemic.

Pelbagai kaedah dikongsikan oleh beliau dalam memastikan kerja di rumah (Work from home) dapat dilaksanakan secara berkesan dan kekal produktif. Secara keseluruhannya, pendekatan yang dikongsikan oleh beliau amat menarik dalam memastikan setiap individu sentiasa positif dan terus bersemangat walaupun terpaksa bekerja dari rumah.

Manakala penceramah ketiga iaitu Profesor Madya Ts. Dr. Goh Kai Chen pula berkongsi tip dan kaedah dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan di era pandemik ini.

Beliau yang baharu saja kembali bertugas setelah setahun menjalani program sangkutan industri di sebuah firma perunding mencadangkan beberapa kaedah dan pendekatan yang efektif yang boleh dijalankan sepanjang tempoh PKP ini.

Antara yang dikongsikan, penyelidik atau pensyarah boleh meneliti serta mengemaskini semula perancangan untuk jangka masa pendek dan panjang bagi sesuatu kajian yang dijalankan dengan cara menyusun semula strategi, hubungan sosial dan bajet menggunakan beberapa jenis perisian dan juga platform digital.

Maklum balas positif oleh peserta dari pelbagai universiti dalam dan luar negara jelas membuktikan perkongsian ilmu secara dalam talian seumpama ini tetap mempunyai impak positif dalam menyebarluaskan pengetahuan, kepakaran dan pengalaman.

Perbezaan lokasi, jarak dan masa bukan lagi penghalang untuk memastikan semangat kerjasama ke arah budaya kajian dan pembangunan yang lebih baik terus kekal walaupun diuji dengan norma baharu akibat COVID-19 yang masih belum ada titik noktahnya.