Oleh Anim Zalina Azizan

BATU PAHAT, 24 Jun 2021 – Bagi menyokong hasrat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi sebuah universiti teknousahawan bertaraf global, sekumpulan penyelidik Kumpulan Fokus Techno Biz, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) dengan kerjasama Pusat Teknousahawan Pelajar (PTP) dan Kelab Technology Management and Business (TMB) telah menganjurkan program Minggu Teknousahawan mengikut amalan norma baharu.

Program yang berlangsung selama satu minggu bermula  17 hingga 23 Jun lalu mendapat sambutan yang luar biasa bukan sahaja dalam kalangan mahasiswa, staf institut pengajian tinggi awam, malah turut mendapat perhatian pemain industri dan alumni universiti.

Program Minggu Teknousahawan dilaksanakan dengan menggabungkan empat program secara dalam talian iaitu Pertandingan Business Pitching, Pertandingan Infografik Idea Perniagaan, Webinar Pemasaran Digital Dalam Talian dan Agropreneur Talk melalui webinar ‘Bangkit Usahawan Tani’ serta ‘Bicara Usahawan Tani dan Doktor Veterinar Anda.’

Menurut ketua penyelidik kumpulan fokus Techno Biz di bawah Jabatan Pengurusan Perniagaan, FPTP, Dr. Abd Razak Ahmad merangkap penyelaras program Minggu Teknousahawan FPTP 2021, kesemua program tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada mahasiswa tentang dunia pemasaran digital yang semakin berkembang pesat dan penerokaan peluang serta potensi melibatkan diri dalam dunia perniagaan berasaskan pertanian.

Katanya program ini juga turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk mencabar diri mereka menterjemahkan idea perniagaan secara lisan dan mereka bentuk hebahan poster infografik yang kreatif.

Walaupun dalam keadaan pembelajaran yang serba kekurangan fasiliti, tanpa kuliah secara fizikal dan bersemuka, pertandingan Business Pitching dan Pertandingan Infrografik Idea Perniagaan berjaya melibatkan penyertaan 16 dan 80 kumpulan pelajar.

“Pemenang bagi kedua-dua pertandingan tersebut menerima hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan.

“Penyertaan dan sambutan luar biasa daripada mahasiswa membuktikan mereka masih mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar, mampu berdaya saing melalui idea-idea perniagaan yang berinovasi serta bersedia menghadapi cabaran sebagai usahawan tani yang selama ini dipandang sebagai perniagaan kelas kedua,” katanya.

Program Minggu Teknousahawan FPTP 2021 yang dipancarkan secara ‘LIVE’ di media sosial terpilih ini turut mendapat tontonan ramai hingga mencecah 500 paparan bagi kedua program Webinar Pemasaran Digital dan Webinar Usahawan Tani.

Program secara dalam talian yang julung kali diadakan ini turut mendapat kerjasama daripada pemain industri dan agensi luar seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Batu Pahat, termasuk sokongan daripada alumni UTHM.

Tambah Dr. Razak, sebelum ini fakulti juga ada menganjurkan program seumpama ini yang berbentuk fizikal seperti ‘Jom Berniaga Sambil Belajar’, ‘Karnival Keusahawanan’, ‘Bazar Vaganza’ dan ‘Food Truck Carnival.’

“Pihak kami berharap penganjuran program sebegini dapat memberi ilmu dan pendedahan berkaitan pengurusan perniagaan dengan lebih luas lagi dan dapat dikembangkan lagi ke seluruh universiti memandangkan ianya berpotensi untuk mengubah minda mahasiswa daripada menjadi seorang yang mencari pekerjaan kepada mencipta pekerjaan,” katanya.