Oleh Dr. Dahlia Fernandez

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berpeluang mewakili Malaysia menyertai Projek Jaringan Universiti Asia Tenggara bagi melaksana dan merealisasikan Keusahawanan dan Kepimpinan Hijau (ANGEL).

ANGEL adalah satu projek Pembangunan Kapasiti Institusi Pengajian Tinggi dipanggil Erasmus+ Capacity Building for Higher Education (CBHE) yang ditaja sepenuhnya oleh Kesatuan Eropah.

Projek kerjasama antarabangsa ini dianggotai oleh 12 institusi dari Asia Tenggara dan empat institusi di Eropah. Negara Asia Tenggara yang terlibat adalah Malaysia, Kemboja, Indonesia, Vietnam dan Laos. Institusi di Asia Tenggara ini disokong sepenuhnya oleh institusi kolaborasi dari Greece dan Cyprus.

UTHM berpeluang menjadi sebahagian daripada projek ini dengan jumlah dana yang diberi adalah sebanyak RM238,084 daripada jumlah keseluruhan RM4,591,096.

Projek ini dikendalikan oleh sepasukan penyelidik dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) yang diketuai oleh Dr. Siti Sarah Omar dan enam lagi ahlinya iaitu Profesor Dr. Shahir Shamsir Omar, Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff, Profesor Madya Dr. Abd Rahman Ahmad, Dr. Umi Kartini Rashid, Dr. Noor Aslinda Abu Seman dan Dr. Dahlia Fernandez Mohd Farid Fernandez.

Projek ini  akan mengambil tempoh selama tiga tahun dan telah bermula sejak 15 Januari 2021 lalu hingga 14 Januari 2024.

ANGEL bertujuan untuk membina kemampuan yang diperlukan di universiti-universiti Asia Tenggara ini bagi mengimbangi pertumbuhan dan inovasi ekonomi berpotensi tinggi.  Projek ini berupaya untuk membantu meningkatkan kemampuan mereka di dalam bidang keusahawanan hijau serta menyelesaikan pelbagai masalah ekonomi dan cabaran kemiskinan, pekerjaan yang berkualiti rendah dalam sektor yang kurang bersesuaian, serta terdapatnya jurang digital dan jurang kepemimpinan.

Dalam konteks institusi Asia Tenggara, pemikiran keusahawanan hijau dan kemahiran kepemimpinan transformasional adalah masih merupakan suatu konsep yang baharu dan ianya adalah sangat kurang dilaksanakan.

Oleh itu, misi ANGEL adalah untuk menghasilkan impak dan transformasi bagi dua pihak berkepentingan utama dari setiap institusi kolaborasi di Malaysia, Kemboja, Indonesia, Vietnam, dan Laos.

Kumpulan sasaran pertama bagi projek ini adalah pelajar universiti, staf akademik dan bukan akademik serta pengurusan atasan. Manakala kumpulan sasaran kedua bagi Projek ANGEL adalah kumpulan yang kurang bernasib baik dalam kalangan masyarakat di negara-negara Asia Tenggara yang terlibat. Ini merangkumi wanita dan golongan minoriti, golongan berpendapatan rendah baik di bandar dan di luar bandar serta orang kurang upaya (OKU).

Projek ini secara khusus telah menetapkan beberapa objektif dengan harapan agar ianya dapat mengembangkan ekosistem kepemimpinan usahawan hijau yang inovatif, yang akan memberikan manfaat seperti berikut:

  • Panduan: Garis panduan secara dalam talian yang akan menawarkan maklumat praktikal untuk membina dan membimbing perusahaan hijau, program latihan yang dilengkapi dengan bimbingan mantap yang dapat menyokong pembentukan syarikat baharu.
  • Penglibatan: Rangkaian kolaborasi universiti-universiti ini akan menggerakkan pihak berkepentingan dalaman (pelajar, staf akademik dan pentadbiran) dan luaran (usahawan, komuniti dan masyarakat serta agensi kerajaan) melalui Unit Inovasi ANGEL untuk merealisasikan projek ini.
  • Pertukaran dan Perkongsian: ANGEL-Hub akan menjadi pusat pengembangan peringkat awal syarikat teknologi hijau, tenaga dan pembangunan lestari.
  • Sokongan: pasukan ANGEL-Enterprise akan mempunyai misi untuk menyokong dan memajukan ANGEL dalam jangka panjang melalui pengembangan kepakaran dalam pengkomersialan pengetahuan dan teknologi di universiti dan pembinaan perkongsian ekosistem keusahawanan serantau / nasional / antarabangsa.

Maklumat lanjut mengenai projek ini, kunjungi laman web rasmi ANGEL di https://angel-project.eu/ dan halaman facebook di facebook.com/angel.EUASEAN.