Oleh Ts. Dr. Muhammad Asyraf Hasim

BATU PAHAT – Bagi memberi keceriaan kepada asnaf dan anak-anak yatim, Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berkongsi rezeki dengan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paya dan Sekolah Kebangsaan Seri Timbul, Parit Raja pada 21 dan 28 Mac 2024.

Program yang dinamakan ‘Infaq Kasih Ramadhan’ itu melibatkan pemberian sumbangan bantuan makanan asas antaranya seperti beras, tepung, minyak masak, gula dan telur.

Program Infaq Kasih Ramadhan itu dijalankan secara dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan serahan sumbangan dan program motivasi kepada 51 asnaf dan anak-anak yatim SK Seri Paya, Parit Raja.

Manakala fasa kedua pula melibatkan serahan sumbangan kepada 20 asnaf dan anak-anak yatim SK Seri Timbul, Parit Raja.

Sumbangan makanan tersebut diharapkan dapat menyuntik semangat dan harapan kepada murid-murid sekolah rendah dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Turut diadakan, program ceramah motivasi di SK Seri Paya bagi memberi inspirasi dan membantu mencapai potensi maksimum, baik dari segi akademik mahupun pembangunan sahsiah diri.

Ceramah motivasi ‘Amalan Kejayaan’ disampaikan secara santai oleh alumni MBA UTHM, Dzunnur Zaily Mohd Dzulkifli, yang merupakan pensyarah di Kolej Poly-Tech MARA Batu Pahat dan Open University Malaysia (OUM), Batu Pahat.

Antara organisasi terlibat dalam program itu adalah Johor Business School, Jabatan Pengurusan Perniagaan, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, City University Johor, badan bukan kerajaan (NGO), Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) cawangan Johor serta pelajar dan alumni MBA UTHM yang turut memberikan sumbangan dan sokongan.

Turut diadakan, satu majlis menandatangani surat kerjasama dengan SK Seri Paya, Johor Business School, City University dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Kerjasama empat pihak itu akan melibatkan aktiviti pertukaran idea, sumber dan kepakaran bagi mencapai matlamat bersama dalam meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Berikutan sambutan yang memberangsangkan daripada pihak sekolah, Johor Business School berharap agar Program Infaq Kasih Ramadhan mampu menjadi pendorong kepada semua pihak untuk meneruskan usaha melakukan kerja-kerja kebajikan serta memperkuatkan lagi ikatan sosial antara universiti, organisasi swasta dan NGO dengan masyarakat.