BATU PAHAT – Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menzahirkan keprihatinannya dengan memberi sumbangan hari raya kepada kira-kira 21 keluarga asnaf dan 25 orang anak yatim pada 29 April 2021.

Menurut Ketua Program, Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad program yang dinamakan ‘UTHM Prihatin Jelajah Ramadan 2021’ ini diadakan untuk membantu masyarakat sekitar UTHM yang terdiri dari golongan yang kurang bernasib baik dan kurang upaya serta warga tua di luar sana yang memerlukan bantuan.

Beliau yang juga Pengerusi Kelab Staf FPTP dan juga Ketua Kebajikan Masyarakat FPTP telah berkerjasama dengan Kelab MBA dan Alumninya bagi menjayakan program tersebut, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang kepada fakulti, universiti serta masyarakat setempat.

Bagi merealisasikan tujuan ini, pihak fakulti telah mengambil langkah prihatin dengan mengumpul dana dalam kalangan warga FPTP untuk membeli barangan makanan serta keperluan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Sumbangan berupa barangan makanan dan duit raya ini diagihkan oleh 20 warga FPTP yang terdiri daripada pensyarah dan staf sokongan serta alumni di tiga kampung iaitu Kampung Parit Bengkok, Kampung Parit Jelutong dan Kampung Salleh Ros bertujuan meringankan beban keluarga terbabit.

Menurut Dr. Fauzi, program ini telah dirancang dari awal dan seramai 34 orang pensyarah dan staf telah terlibat dalam menjayakan program ini.

“Sumbangan perseorangan berbentuk wang ringgit dan barangan ini  menunjukkan bahawa warga FPTP dan Alumni sangat prihatin terhadap kepayahan masyarakat serta berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat, ” tambahnya lagi.

Wakil Kampung Parit Bengkok, Parit Raja, Salleh Bahari yang juga pengerusi kampung mengucapkan terima kasih serta mengalu-alukan bantuan yang diberikan kepada penduduk kampung tersebut serta berharap kerjasama dengan pihak universiti dapat diteruskan pada masa akan datang.

Seramai 25 orang anak-anak yatim turut menerima sumbangan duit raya serta barangan makanan di Sekolah Kebangsaan Parit Raja, Batu Pahat.

Guru Besar sekolah terbabit, Tuan Haji Subari Sirol mengucapkan ribuan terima kasih terhadap sumbangan tersebut dan berharap kerjasama dengan pihak universiti dapat diteruskan dalam membantu sekolah bagi meningkatkan prestasi pelajar dengan program-program bersama universiti.

Sementara itu, Dekan Fakulti FPTP, Profesor Dr. Wan Fauziah Wan Yusoff juga merakamkan ucapan tahniah di atas penglibatan pensyarah dan staf sokongan yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Beliau berharap agar program ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang supaya warga universiti sentiasa prihatin dalam membantu masyarakat setempat.