Warga kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengumpul sebanyak 1,294 kilogram (kg) bahan kitar semula ketika berlangsungnya program Hari Kitar Semula@UTHM  pada 7 dan 8 April 2021 lalu.

Menurut Ketua SIO 2 (Sisa dan Kitar Semula), Ts. Dr. Roslinda Ali sampah seperti plastik dan kertas menjadi penyumbang terbesar kepada jumlah tersebut iaitu 103 kg plastik dan 368 kg kertas.

Untuk rekod, sebelum ini Pejabat Kampus Lestari, UTHM yang diketuai oleh Pengarahnya, Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir telah menganjurkan Kempen “Earth Month Awareness 2021” yang tamat pada 30 April lalu.

Pelbagai program telah dijalankan bersempena dengan kempen tersebut antaranya Hari Kitar Semula@UTHM dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. yang melibatkan kampus Induk dan kampus Pagoh.

Warga kampus dan komuniti setempat diseru untuk menghantar segala barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, aluminium, besi, minyak masak terpakai dan juga sisa elektrik dan elektronik seperti komputer, televisyen, kipas atau seumpamanya.

Selain itu, Pusat Kitar Semula (RPPS) UTHM turut mengumpul pakaian terpakai untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.

Dr. Roslinda berkata selain mengajak warga kampus mengamalkan konsep pengasingan sisa di punca, pihaknya turut menerapkan konsep guna semula atau reuse kepada warga kampus dan komuniti setempat.

“Apabila diberi peluang untuk mengumpul baju terpakai, mereka akan mengambil inisiatif untuk mengosongkan almari masing-masing dengan mengasingkan pakaian yang masih elok tetapi tidak lagi dipakai untuk disumbangkan.

“Secara tidak langsung, jangka hayat pakaian terpakai berpanjangan kerana masih boleh digunapakai dan tidak rosak begitu sahaja,” katanya.

Tambah beliau, dalam jangka masa panjang, penggunaan semula pakaian terpakai dapat mengurangkan penghasilan baju baharu dan ini dapat mengurangkan jumlah pembuangan sisa ke tapak pelupusan.

“Bahan kitar semula yang terkumpul itu diambil oleh pihak SWM untuk dibawa ke pusat kitar semula bagi proses selanjutnya.

Menariknya pada hari tersebut juga, pihak SWM turut menyediakan cenderahati kepada mereka yang menghantar bahan kitar semula ke RPPS.

Manakala warga kampus juga diminta untuk mendaftar aplikasi KitaRecycle yang dimuat turun dari telefon bimbit.

“Melalui KitaRecycle, pengguna boleh mengumpul mata ganjaran setiap kali menghantar bahan kitar semula ke sana dan mata ganjaran tersebut boleh ditebus dengan wang yang akan dikreditkan ke dalam akaun pengguna,” jelas Dr. Roslinda.