Kelab Planateers UTHM tingkatkan kesedaran generasi muda pulihara hidupan liar

BATU PAHAT – Kelab Planeteers, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) meningkatkan kesedaran generasi muda untuk memelihara dan memulihara hidupan liar melalui penganjuran Program Webinar Hidupan Liar peringkat kebangsaan...

BATU PAHAT – Kelab Planeteers, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) meningkatkan kesedaran generasi muda untuk memelihara dan memulihara hidupan liar melalui penganjuran Program Webinar Hidupan Liar peringkat kebangsaan Siri 1 iaitu ‘Bicara Planeteers 2021’ pada 28 April lalu bersempena sambutan Bulan Bumi.

Pelbagai isu yang dibincangkan dalam webinar ini antaranya jenis hidupan liar yang terancam, peranan kawasan perlindungan hidupan liar Malaysia, peranan generasi muda ke arah pemuliharaan hidupan liar, Jenis-jenis kempen yang sesuai dilaksanakan di peringkat akar umbi, kesan memelihara hidupan liar sebagai binatang peliharaan dan permulaan penerapan sistem pendidikan pemuliharaan hidupan liar di peringkat pra sekolah.

Webinar ini melibatkan penyertaan 400 peserta dari pelbagai institusi antaranya selain UTHM, Maktab Rendah Sains Mara Pangkalan Chepa, Kelantan, SK Tunku Mahmood 2 Kluang, SMK Dulang Yan Kedah, SMK Sultan Mansor Kuala Terengganu, Seri Jubli International School, Jabatan Perhilitan, Politeknik Merlimau Melaka, Universiti Perlis Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Sains Malaysia dan juga orang awam.

Webinar bertajuk Hidupan Liar ini dikendalikan oleh pelajar, Muhammad Hasanuddin Mohd Kamal dari Kelab Planeeteers selaku moderator webinar. Manakala ahli panel terdiri daripada Profesor Dato’ Dr Mohd Tajuddin Abdullah, Felo Penyelidik Institut Biodaversiti Tropika dan pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu dan Ts. Dr. Muhammad Abdul Latif Abu Bakar, Penyelidik Utama Kumpulan Intergrasi Oases (OIG), Institut Kejuruteraan Intergrasi, Fakulti Sains Gunaan Dan Teknologi, UTHM.

Penasihat Kelab Planeteers, Sr Dr. Nazirah Mohamad Abdullah berkata pihaknya menerima pelbagai soalan dan maklum balas yang sangat positif daripada peserta. Webinar ini juga menjadi lebih menarik apabila menggunakan laras bahasa yang mudah difahami oleh semua peringkat umur.

Menurut beliau kelab Planeteers juga menuntut kesemua peserta webinar menghasilkan satu poster yang bertemakan ‘Bersama Kita Tingkatkan Pemuliharaan Hidupan Liar’ sebagai latar belakang skrin komputer masing-masing ketika webinar ini berlangsung sebagai tanda sokongan kepada program.

Tambah beliau penganjuran webinar ini akan disusuli dengan program-program kesedaran yang mengfokuskan kepada pemuliharaan hidupan liar dan lestari. Kaedah yang akan dilakukan seterusnya adalah secara bersemuka antara ahli kelab dan penduduk yang akan terbabit.

“Program seterusnya ini akan dilakukan di lokasi-lokasi terpilih sekitar negeri Johor dahulu memandangkan kita masih perlu mematuhi prosedur operasi standard pandemik Covid-19.

“Lokasi pertama yang dirancang adalah di Ayer Hitam, Muar kerana kita mempunyai Living Lab UTHM bersama penduduk, tambahan pula kawasan tersebut mempunyai habitat yang memerlukan pemuliharaan,” katanya.

Dr. Nazirah juga berkata penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkenalkan Kelab Planeteers di bawah naungan Pejabat Kampus Lestari UTHM dalam penglibatan program pemuliharaan hidupan liar pada masa akan datang.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE