PAGOH – Sempena berlangsungnya kempen “Earth Awareness Month 2021” anjuran Pejabat Kampus Lestari pada April lalu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh telah berjaya mengumpul 939 kilogram (kg) bahan kitar semula hasil kerjasama seluruh warganya.

Aktiviti sempena Hari Kitar Semula@UTHM yang dilaksanakan dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. ini berjaya mengumpul bahan seperti 368 kg kertas, 203 kg besi dan 113 kg plastik pada 8 April lalu.

Pengarah Program, Ts. Dr. Roslinda Ali berkata program ini merupakan kali pertama diadakan di UTHM Kampus Pagoh sejak pengoperasiannya pada 2017.

“Program ini mendapat sambutan yang sangat baik dan mereka amat mengalu-alukan program sebegini untuk dilaksanakan secara berkala.

“Ini secara tidak langsung dapat mendidik warga hab keseluruhannya untuk mempraktikkan amalan pengasingan sisa di punca dengan menggunakan kedah yang betul,” katanya.

Terdahulu, bersempena program Hari Kitar Semula@UTHM juga pihak SWM dengan kerjasama Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam, Fakulti Teknologi Kejuruteraan, menemui para pelajar tadika sekitar Pagoh bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang kepentingan pengasingan sisa di punca.

Turut diadakan, pertandingan mewarna bagi mencungkil kreativiti kanak-kanak terlibat sambil menerapkan rasa cinta mereka terhadap alam sekitar.

Majlis penutup Hari Kitar Semula@UTHM telah disempurnakan oleh Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr Mohd Kamarulzaki Mustafa.  Hadir sama, Pengarah Pejabat Kampus Lestari, Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir dan Pengurus Besar Korporat SWM, Haji Mohd. Norlisam Mohd Nordin.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran kempen penggunaan aplikasi KitaRecycle oleh SWM di kampus tersebut.

‘KitaRecycle’ merupakan satu aplikasi yang mana pengguna boleh mengumpul mata ganjaran setiap kali menghantar bahan kitar semula ke pusat kitar semula dan mata ganjaran tersebut boleh ditebus dengan wang yang akan dikreditkan ke dalam akaun pengguna.

Selain pelancaran, Provost turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna dan cabutan bertuah yang berjaya menghantar bahan kitar semula terbanyak.