BATU PAHAT – Bagi melahirkan graduan berdaya saing, Jabatan Pengurusan dan Teknologi, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Techno Week 2.0 yang berlangsung selama empat hari, bermula 27 hingga 30 April 2026.
Pelbagai aktiviti diadakan di sekitar fakulti dan Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk dengan penyertaan memberangsangkan daripada mahasiswa, pensyarah dan wakil industri ternama.
Bertemakan “Technology Across Borders: Industry, Academia, and Future,” penganjuran program itu dijadikan platform strategik dalam menghubungkan dunia akademik dengan industri bagi melahirkan graduan yang berdaya saing, relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.
Dekan FPTP dalam ucapan perasmiannya berkata program seperti Techno Week 2.0 itu bukan sekadar aktiviti tahunan, tetapi platform kritikal untuk merapatkan jurang antara teori akademik dan realiti industri.
“Di FPTP, kita bukan sekadar melahirkan graduan yang mahir mengurus, tetapi pemimpin yang mampu mengemudi inovasi digital dengan beretika,” katanya.
Beliau turut menyeru mahasiswa agar meneroka trend terkini, membina jaringan bersama pakar industri, serta mengasah bakat melalui pertandingan dan bengkel yang disediakan.
Sementara itu, Ketua Jabatan, Dr. Hafizah Zulkipli berkata program itu berjaya memberikan pendedahan langsung kepada mahasiswa mengenai keperluan sebenar industri, di samping membuka peluang latihan industri dan kerjaya.
“Lebih 200 mahasiswa telah mendapat manfaat daripada sesi perkongsian ilmu dan jaringan profesional sepanjang program berlangsung.
“Antara dapatan utama program ini ialah peningkatan kefahaman mahasiswa terhadap aplikasi teknologi terkini seperti analitik data, pengurusan logistik pintar dan piawaian Halal dalam rantaian bekalan,” katanya.
Sementara itu, pada 27 dan 28 April 2026, program ‘Pemeriksa Luar bersama Prof. Dr. Mohd Syaiful Rizal Abdul Hamid’ daripada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) turut dilaksanakan bagi menjalankan semakan menyeluruh program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dengan Kepujian (BPA) serta sesi “Orange Teknologi” yang menekankan inovasi dalam era digital.
Manakala pada 29 April 2026, sesi bersama penasihat industri dari Petronas, TechnipFMC, Johor Port dan Paris Baguette Logistics turut diadakan bagi memberi cadangan penambahbaikan silibus berfokuskan analitik data, teknologi digital, logistik pintar dan piawaian Halal.
Kemuncak program pada 30 April 2026 menyaksikan pertukaran Letter of Intent (LoI) antara UTHM dan DHL yang disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Md Fauzi Ahmad @ Mohamad, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPTP, bersama wakil DHL iaitu Tharaka De Silva, Yoon Jung Choi dan Saiful Nahar Mohd Rusli.
Dekan FPTP dalam kenyataan penutupnya berkata, “Techno Week 2.0 bukan sahaja memperkukuh hubungan universiti-industri, malah menjadi pemangkin kepada transformasi kurikulum FPTP agar sentiasa relevan dengan keperluan global.
“Saya yakin manfaat program ini akan terus dirasai oleh mahasiswa dan fakulti pada masa akan dating,” katanya.




