Oleh Prof. Madya Ir. Dr. Saliza Azlina Osman

PUTRAJAYA – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui UTHM Bitara (Advanced Centre for Continuing Education) dengan kerjasama strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah berjaya melaksanakan Program Train of Trainer (ToT) Tenaga Pengajar TVET pada 27 hingga 28 April 2026 lalu.

Program intensif yang berlangsung di KPT itu melibatkan penyertaan seramai 48 tenaga pengajar daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Inisiatif itu dirangka khusus bagi memenuhi keperluan Kod Amalan Akreditasi Program TVET (COPTPA), sekali gus mendokong aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menjamin kualiti penawaran program TVET di rangkaian Universiti Awam Rangkaian Teknikal Malaysia (MTUN) dan Politeknik.

Melangkah ke hadapan, program itu bakal diperluaskan ke seluruh Universiti Awam (UA) lain yang berhasrat menawarkan pengajian berasaskan TVET pada masa hadapan.

Keistimewaan program itu terletak pada penggunaan modul Asas Pembelajaran & Pengajaran (Modul Tenaga Pengajar TVET) yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar-pakar Pendidikan TVET UTHM.

Naskah itu telah diterbitkan secara rasmi oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), KPT pada tahun 2025, sekali gus meletakkan UTHM sebagai rujukan utama dalam pembangunan standard tenaga pengajar TVET di Malaysia.

Lebih signifikan, para peserta yang berjaya menamatkan program itu akan ditauliahkan sebagai jurulatih utama yang bertanggungjawab melatih staf akademik di institusi masing-masing.

Fokus pentauliahan itu merangkumi aspek kritikal iaitu pembangunan, penyampaian, serta pentaksiran program TVET, sekali gus memastikan kelestarian kualiti pendidikan teknikal dapat disebarluaskan secara menyeluruh di peringkat akar umbi.

Penutup program turut dihadiri Pengarah UTHM Bitara, Profesor Dr. Wan Fauzi @ Wan Fauziah Wan Yusoff, bersama wakil Kementerian Pendidikan Tinggi, Ts. Dr. Mohd Erfy Ismail, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kecemerlangan Akademik, sekali gus memperkukuh sinergi antara universiti dan kementerian dalam merealisasikan aspirasi TVET negara.

Keberkesanan program itu dipacu oleh kepakaran barisan jurulatih yang diterajui oleh Profesor Ts. Dr. Mimi Mohaffyza Mohamad selaku Ketua Jurulatih bersama barisan jurulatih-jurulatih lain yang kompeten.

Program itu telah diselaraskan oleh Jabatan Latihan Berterusan UTHM Bitara yang diketuai Profesor Madya Ir. Dr. Saliza Azlina binti Osman selaku Ketua Jabatan, serta urus setia yang komited.

Melalui sinergi erat antara pihak universiti dan kementerian, platform itu berjaya bertindak sebagai pemangkin transformasi bagi mempersiapkan tenaga pengajar TVET negara mendepani cabaran masa depan.

Sebagai kemuncak kepada inisiatif ini, para peserta yang menyempurnakan program dengan cemerlang ditauliahkan dengan Sijil Kompetensi ToT Tenaga Pengajar TVET oleh pihak KPT, sebagai satu pengiktirafan rasmi terhadap tahap kepakaran dan kualiti instruksional mereka.