Oleh Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar

BATU PAHAT – Sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasa pembelajaran berasaskan komuniti melalui pendekatan digital dan kreatif, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program “SULAM 2026: Social Web Explorer” pada 20 dan 21 Mei 2025 lalu bertempat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rengit, Batu Pahat, Johor.

Program yang melibatkan kira-kira 120 orang murid tahap dua iaitu Tahun 4, 5 dan 6 itu bertujuan memberi pendedahan kepada murid berkaitan penghasilan kandungan video pendek berbentuk media sosial atau “reel” yang berunsurkan pendidikan.

Kandungan video yang dihasilkan memberi fokus kepada subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Sains dengan menggunakan telefon pintar Android sebagai medium utama rakaman dan suntingan video.

Program tersebut diketuai oleh Dr. Noor Zuraidin Mohd Safar bersama beberapa pensyarah dan pelajar universiti yang bertindak sebagai fasilitator kepada murid-murid sekolah.

Aktiviti yang dijalankan merupakan sebahagian daripada pendekatan Service-Learning Malaysia-University for Society (SULAM), iaitu kaedah pembelajaran yang menggabungkan ilmu akademik dengan khidmat komuniti bagi memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Melalui program itu, murid-murid turut didedahkan dengan penggunaan teknologi web dan Internet dalam proses pembelajaran digital masa kini.

Menurut Dr. Zuraidin, penggunaan aplikasi berasaskan web dan platform digital membolehkan murid menghasilkan, menyunting dan berkongsi kandungan multimedia secara lebih kreatif dan interaktif tanpa dibatasi oleh peranti atau lokasi tertentu.

“Selain meningkatkan kemahiran teknologi maklumat, pendekatan ini juga membantu murid memahami penggunaan Internet secara positif, beretika dan selamat dalam dunia pendidikan,” katanya.

Guru Besar SK Sri Rengit, Suhaimi Bahrudin pula berkata penggunaan teknologi web yang diaplikasikan dalam pendidikan mempunyai potensi yang besar untuk menyokong dan meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.

Menurut beliau, pendekatan pembelajaran berasaskan video digital mampu menarik minat murid untuk lebih aktif dan kreatif semasa proses pembelajaran berlangsung.

“Melalui penggunaan teknologi web dan aplikasi digital, murid bukan sahaja dapat mencapai maklumat dengan lebih mudah, malah mereka juga dapat membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi dan bekerjasama secara aktif dalam kumpulan.

“Program seperti ini juga memberi peluang kepada guru untuk mempelajari pendekatan pembelajaran digital yang lebih menarik dan sesuai dengan generasi masa kini,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, murid-murid diberi pendedahan tentang teknik asas penghasilan video digital termasuk penggunaan kamera telefon pintar, pencahayaan, rakaman suara dan penyuntingan video menggunakan aplikasi mudah alih.

Mereka turut dibimbing untuk menghasilkan idea kandungan kreatif yang sesuai dengan tahap umur dan pembelajaran di sekolah.

Pada sesi pertama program, murid dibahagikan kepada kumpulan kecil untuk membincangkan idea video berdasarkan topik pembelajaran yang dipilih.

Mereka juga mempelajari garis panduan asas penghasilan video yang menepati etika, keselamatan dan privasi penggunaan media sosial.

Sesi kedua pula memberi tumpuan kepada penyediaan skrip dan rakaman video yang menuntut setiap ahli kumpulan diberikan peranan seperti pelakon, jurukamera dan penyunting video bagi menggalakkan penglibatan aktif semua murid.

Melalui aktiviti itu, murid bukan sahaja mempelajari kemahiran teknikal, malah dapat meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat kerjasama dalam kumpulan.

Pada sesi penyuntingan video, murid diajar cara memotong klip video, menambah teks, muzik latar, transisi dan sari kata ringkas sebelum penghasilan akhir video tersebut.

Semua hasil kerja kemudiannya disimpan dalam storan awan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran digital dan pengurusan kandungan secara dalam talian.

Pada sesi terakhir, setiap kumpulan diberi peluang menayangkan video yang dihasilkan di hadapan rakan-rakan dan fasilitator.

Mereka turut berkongsi pengalaman sepanjang proses penghasilan video termasuk cabaran yang dihadapi dan perkara baharu yang dipelajari.

Dua video terbaik daripada setiap kumpulan SULAM turut menerima penghargaan sebagai galakan kepada murid untuk terus berkreativiti secara positif.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk SK Sri Rengit, Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat, Mahidah Kosnan serta Zainorida Ngarip selaku PPPD Menengah dan Tingkatan 6 merangkap Pegawai Perhubungan PPDBP atas sokongan, kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

“Pihak kami berharap program komuniti sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan lagi peranan mahasiswa dalam menyumbang kepakaran kepada masyarakat melalui aktiviti pendidikan berasaskan teknologi digital,” katanya.