BATU PAHAT – Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Jejak Al-Barakah KKDK: Ilmu Falak dan Khidmat Ummah pada 6 Jun 2026 lalu di Masjid Jamek Parit Jelutong bagi memperkukuh hubungan antara warga universiti dan komuniti setempat melalui aktiviti kesukarelawanan, perkongsian ilmu serta kebajikan masyarakat.

Menurut pengarah program, Anas Naimullah Mohd Shukri program yang dianjurkan dengan kerjasama Pusat Islam UTHM dan Masjid Jamek Parit Jelutong itu menghimpunkan pelajar UTHM bersama penduduk setempat dalam pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti.

Antara pengisian utama program adalah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan masjid dan rewang memasak bubur lambuk yang kemudiannya diagihkan kepada penduduk sekitar.

Aktiviti tersebut bukan sahaja berjaya menyemarakkan semangat kerjasama dan kebersamaan, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dan masyarakat setempat.

Turut diadakan, Bengkel Al-Fatihah yang dikendalikan oleh Dr. Mustapahayuddin Abdul Khalim bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan penghayatan surah al-Fatihah dalam kehidupan seharian sebagai asas utama dalam ibadah solat.

Peserta turut dibimbing memahami maksud dan mesej yang terkandung dalam setiap ayat al-Fatihah serta kepentingannya dalam membentuk keperibadian Muslim yang berilmu, berakhlak dan berintegriti.

Sebagai sebahagian daripada agenda kebajikan program, sebanyak 20 kotak makanan asas telah disumbangkan kepada keluarga asnaf di sekitar Parit Jelutong hasil tajaan Pusat Islam UTHM.

Sumbangan tersebut disampaikan kepada penerima yang dikenal pasti oleh pihak pengurusan masjid bagi membantu meringankan beban mereka, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Inisiatif itu turut mencerminkan komitmen UTHM dalam menyemai nilai keprihatinan, ihsan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Tambah Anas, penganjuran program ini turut mendapat sokongan daripada pihak industri antaranya McDonald’s Malaysia telah menyumbangkan 200 cawan minuman kepada peserta dan komuniti yang hadir, manakala Faiza Sdn. Bhd. menaja perencah kari ikan untuk 60 penerima.

“Sumbangan yang diberikan membuktikan komitmen sektor korporat dalam menyokong program pembangunan komuniti yang memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Melalui pelaksanaan program itu, KKDK berharap hubungan strategik antara universiti dan komuniti dapat terus diperkukuhkan, sekali gus melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial yang tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.