TIADA siapa menjangka kemusnahan dahsyat di Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Sepang di Selangor serta Mentakab, Karak dan Bentong di Pahang akibat bencana banjir, baru-baru ini.

Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi titik permulaan untuk merangka paradigma baharu bagi menghadapi bencana alam di negara ini.

Perubahan iklim dunia ketika ini memerlukan semua negara bersedia menghadapi bencana alam luar biasa termasuk yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Laporan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dikeluarkan baru-baru ini mengingatkan bahawa dunia kini berada di landasan untuk menghadapi lebih banyak fenomena ekstrem dalam masa terdekat.

Selain banjir dan tanah runtuh yang kerap melanda, Malaysia juga harus bersedia dengan pelbagai bencana lain seperti tsunami, kemarau, taufan hatta gempa bumi.

Pengalaman negara-negara maju yang telah terbukti cekap dalam menangani bencana alam seperti Jepun perlulah kita giat mempelajarinya. Teknologi terkini seperti penggunaan dron, peninjau robotik, peramalan cuaca, sistem pengesanan bencana dan kaedah pemberitahuan awam perlu dipertingkatkan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu lebih proaktif dalam menjangka situasi terburuk di tempat masing-masing dengan merangka pelan kecemasan bersepadu melibatkan penduduk, agensi kerajaan, sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

PBT yang siap siaga mampu memberikan tindak balas awal pantas apabila sesuatu bencana melanda sebelum bantuan daripada pihak Persekutuan atau agensi lain diterima.

Rancangan pembangunan bandar dan desa wajib mengambil kira kemungkinan berlakunya bencana dengan menyediakan pelan menyelamat yang holistik.

Kita tidak dapat menafikan sebahagian bencana alam sebelum ini adalah akibat kerakusan manusia yang menggondol hutan dan menambak laut.

Para pemimpin dan pihak berkuasa yang telah diberikan amanah untuk merancang dan menguatkuasakan sesuatu peraturan perlu melaksanakan tanggungjawab itu dengan jujur.

Kita tidak mampu lagi berkompromi dengan sifat tamak kapitalis yang membuat rancangan pembangunan tanpa mengendahkan risiko bencana alam sekitar.

Rakyat juga perlu dididik dan diberikan pendedahan lebih menyeluruh terhadap kesiapsiagaan menghadapi bencana. Sememangnya sifat bencana itu datang secara mengejut, maka pengetahuan asas survival sangat mustahak khususnya di awal tempoh bencana.

Bagi negara-negara maju, kunci utama kecekapan mereka dalam menghadapi krisis bencana alam adalah penggunaan teknologi terkini. Antaranya teknologi dron di mana keupayaan alat ini amat bermanfaat dalam membuat tinjauan dan pengesanan di kawasan yang terputus hubungan darat.

Selain itu, mereka juga memanfaatkan teknologi komunikasi dan pengimejan satelit yang mampu menyalurkan maklumat sangat penting untuk pemantauan serta menghadapi bencana.

Malaysia seharusnya bergerak ke arah ini dengan lebih serius. Dalam hal ini, penglibatan para saintis dan penyelidik di universiti-universiti tempatan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya. Di samping itu, persediaan pascabencana juga perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan.

Sudah menjadi lumrah, sesuatu bencana itu akan disusuli pelbagai masalah dan kesulitan sosioekonomi yang lain seperti kerosakan harta benda, kemiskinan, tekanan mental, kesihatan dan sebagainya.

Pembangunan semula sosioekonomi rakyat yang terjejas akibat bencana harus direncana dalam satu rangka gerak kerja bersepadu merentasi pelbagai agensi.

 

Artikel ini juga diterbitkan di senarai berikut..

26/12: Malaysia Post
https://malaysiapost.com.my/2021/12/26/paradigma-baharu-hadapi-bencana-alam/

27/12 Malaysia Gazette
https://www.google.com/amp/s/malaysiagazette.com/2021/12/27/malaysia-perlu-paradigma-baharu-hadapi-bencana-alam/%3famp

29/12 VOICE
https://www.facebook.com/100282114724065/posts/642465020505769/

30/12 Utusan Malaysia pg 19
30/12 Utusan Online https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2021/12/taufan-badai-malaysia-bukan-lagi-lawak-waspadalah/

30/12 Mykmu.net
https://mykmu.net/2021/12/30/taufan-badai-malaysia-bukan-lagi-lawak-waspadalah/

31/12 Harakah Bil 2712 Edisi Jumaat 26 – 28 JAMADILAWAL 1443 / 31 DISEMBER 2021 – 2 JANUARI 2022

31/12 B.Harian online
https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2021/12/905994/bhplus

31/12 Berita Harian page 13

 

 

Shafry Salim

Timbalan Pendaftar
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)