Sistem pendidikan sesebuah negara bukan sekadar sebuah kilang gergasi untuk melahirkan robot-robot industri yang mahir dalam bidang teknikal semata-mata. Lebih jauh daripada itu, pendidikan merupakan sebuah wadah sakral untuk membentuk acuan warganegara yang memiliki sahsiah keperibadian utuh, patriotik dan mempunyai sauh kebangsaan yang kukuh. Dalam konteks Malaysia, Akta Pendidikan 1996 memancangkan pasak yang jelas. Kita berhasrat melahirkan generasi yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Bagi merealisasikan impak tersebut, Bahasa Melayu dan mata pelajaran Sejarah bertindak umpama tiang seri. Sebagai dua tunjang utama yang memelihara kesepaduan sosial dan kelangsungan tamadun bangsa.

Umpama membina sebuah rumah tradisional Melayu, tiang seri adalah paksi yang menampung keseluruhan struktur bumbung dan lantai. Jika rapuh tiang serinya, maka robohlah rupa bentuk rumah tersebut. Samalah juga dengan dengan pembinaan sumber manusia negara. Subjek teras ini bukanlah penghalang kemajuan, sebaliknya ia adalah tiang asas yang membolehkan sistem pendidikan kita melahirkan barisan jurutera, doktor, arkitek, pereka dan pelbagai profesion profesional lain yang bukan sahaja tajam akalnya, tetapi menebal jiwa kebangsaannya. Persepsi miopik (berpandangan kabur) yang menganggap subjek ini sebagai anakronistik (ketinggalan zaman) dan tidak mempunyai ‘nilai pasaran’ wajib diperbetul segera.

Bahasa Melayu: Cerminan budi dan perpaduan

Apabila memperkatakan tentang peranan Bahasa Melayu, pepatah “Bahasa Jiwa Bangsa” bukan sekadar retorik kosong. Ia adalah realiti kelangsungan identiti. Bahasa Melayu adalah alat pemikiran yang membentuk struktur kognitif pelajar untuk memahami nilai, budaya dan falsafah hidup tempatan.

Bagi seorang bakal profesional, kepetahan berbahasa kebangsaan adalah kunci kepada kecerdasan emosi (EQ) dan kelancaran interaksi sosial. Rangkap pantun warisan yang berbunyi, “Yang kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa,” amat bertepatan dengan aspirasi ini. Seorang doktor perubatan yang cemerlang bukan sahaja diukur pada kehebatannya mendiagnosis penyakit, tetapi pada kemampuannya menyantuni pesakit di ceruk desa dengan bahasa yang penuh empati dan hemah. Tanpa kehalusan budi yang dipupuk melalui bahasa ibunda, ilmu teknikal tinggi akan menjadi kaku dan terasing daripada denyut nadi masyarakat marhaen.

Sebagai bahasa pengantar utama, ia bertindak sebagai agen pembina naratif kebangsaan. “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.” Di dalam bilik darjah, apabila anak-anak daripada pelbagai latar belakang etnik menggunakan satu laras bahasa yang sama untuk menuntut ilmu, mereka sedang membina perpaduan organik. Inilah rahsia bagaimana masyarakat majmuk boleh bermuafakat.

Sejarah: Kompas masa depan

Jika bahasa adalah jiwa, maka Sejarah adalah ingatan kolektif bangsa. Sebuah masyarakat yang buta sejarahnya adalah ibarat penderita amnesia, hidup tanpa mengetahui asal usul dan mudah dimanipulasi. Pepatah Melayu mengingatkan kita, “Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.” Mata pelajaran Sejarah berfungsi sebagai pangkal jalan tersebut, ia adalah kompas masa depan yang mengingatkan generasi muda tentang titik tolak pembentukan negara Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil langkah strategik mewajibkan lulus Sejarah dalam SPM sejak tahun 2013. Melalui lipatan sejarah, pelajar diajar berfikir secara sebab dan akibat. Mereka mendalami mengapa empayar Kesultanan Melayu Melaka yang agung boleh runtuh akibat sengketa dalaman dan bagaimana kemerdekaan diraih melalui perpaduan kaum.

Tiang Seri melahirkan ‘Jurutera Bangsa’ yang berwibawa

Di sinilah letaknya kepentingan mengadun kepakaran teknikal (STEM) dengan keutuhan jati diri (Bahasa Melayu dan Sejarah). Sains dan Matematik mungkin mengajar seorang jurutera awam bagaimana mengira kekuatan struktur konkrit untuk membina sebuah jambatan yang megah. Namun, sejarah dan budi bahasa negaralah yang mengajar jurutera tersebut mengapa jambatan itu penting untuk kemajuan bangsanya dan mengapa ia mesti dibina dengan penuh integriti tanpa sebarang rasuah dan ketirisan.

Sinergi antara sains dan kemanusiaan (melalui Bahasa Melayu dan Sejarah) akan melahirkan barisan teknokrat dan profesional yang berjiwa besar. Kita mahu melahirkan peguam yang mempertahankan keadilan berteraskan Perlembagaan. Arkitek yang mereka bentuk bangunan pencakar langit tetapi mengekalkan identiti seni bina tempatan dan pereka perisian (IT) yang membangunkan kecerdasan buatan (AI) tanpa meminggirkan etika keinsanan.

Gabungan ini membentuk warganegara glokal, Pucuknya menjangkau awan, namun akarnya teguh mencengkam bumi.” Mereka mampu bersaing di liga antarabangsa, tetapi identiti dan kesetiaan mereka tetap terpahat kukuh di bumi Malaysia.

Menangkis hegemoni dan merekayasa pendidikan

Kita tidak boleh menafikan cabaran mendidik generasi Z dan Alfa hari ini. Dominasi budaya asing dan ledakan media sosial mula menghakis nilai bahasa, sementara subjek Sejarah sering dilabel membosankan kerana pendekatan peperiksaan.

Bagi menangkis kemelut ini, pepatah “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” menuntut sistem pendidikan melakukan rekayasa (penerapan unsur-unsur ilmu dan budaya) metodologi. Guru Sejarah perlu memanfaatkan pedagogi kontemporari seperti pembelajaran berasaskan projek (PBL) atau realiti maya (VR) untuk menghidupkan kembali peristiwa lampau. Pengajaran Bahasa Melayu pula harus diangkat melalui wacana ilmiah, penulisan digital yang kritis dan penganjuran debat, bukannya sekadar menghafal tatabahasa.

Secara tuntasnya, Bahasa Melayu dan Sejarah sama sekali bukan subjek picisan. Kedua-duanya adalah entiti sakral yang menentukan kedaulatan dan masa depan Malaysia. Jika kita sekadar mahu melahirkan tenaga kerja teknikal yang efisien, kita mungkin berjaya membina banyak kilang dan menara. Tetapi jika kita berhasrat membina sebuah ‘Negara Bangsa’ yang berdaulat, berhemah tinggi dan dihormati di mata dunia. Tiang seri Bahasa Melayu dan Sejarah tidak boleh diruntuhkan. Dua subjek utama inilah yang kekal menjadi asas kepada kemasukan ke peringkat pengajian tinggi awam di Malaysia.

Semua pihak, dari pembuat dasar hinggalah ke institusi keluarga, harus memastikan subjek-subjek ini dijiwai dengan rasa bangga. Biarlah kepakaran para profesional kita yang membina negara ini kelak diiringi dengan semangat dan jati diri. Bahasa dan bangsa itu tidak dijual beli. Hilang bahasa lenyap bangsa. Bahasa itu alat perpaduan yang menjadi komunikasi segala hal berkaitan kesepakatan. Sejarah itu pengajaran, menjadi kompas arah hala tuju masa hadapan.

 

 

Ts. Ahmad Anwar Safwan bin Sidek
Pensyarah
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Jun 2026: Bahasa Melayu & sejarah: Tiang seri lahirkan profesional pembina negara 

Bahasa Melayu & sejarah: Tiang seri lahirkan profesional pembina negara