Latihan industri merupakan komponen penting dalam sistem pendidikan tinggi yang bertujuan menyediakan pelajar menghadapi alam pekerjaan sebenar. Melalui program ini, pelajar berpeluang mengaplikasikan teori yang dipelajari di bilik kuliah, memahami budaya organisasi serta membangunkan kemahiran profesional yang sukar diperoleh melalui pembelajaran akademik semata-mata.
Namun, insiden kemalangan yang melibatkan pelajar atau pekerja muda ketika menjalani latihan di industri dari semasa ke semasa menimbulkan persoalan yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Walaupun setiap kes mempunyai latar belakang dan punca yang berbeza, satu persoalan asas sering timbul: sejauh manakah pelajar latihan industri boleh dianggap sebagai individu yang kompeten untuk melaksanakan tugas di tempat kerja?
Persoalan ini penting kerana Malaysia mempunyai lebih daripada sejuta pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Sebahagian besar daripada mereka perlu menjalani latihan industri sebagai syarat bergraduasi. Ini bermakna setiap tahun, ratusan ribu pelajar memasuki pelbagai sektor pekerjaan termasuk pembuatan, pembinaan, utiliti, teknologi maklumat, perkhidmatan kesihatan dan sektor awam.
Dalam banyak organisasi, pelajar latihan industri sering dianggap sebagai sebahagian daripada tenaga kerja. Mereka diberikan tugasan, jadual kerja dan tanggungjawab yang hampir menyerupai pekerja tetap. Walaupun pendekatan ini mampu meningkatkan keyakinan dan pengalaman pelajar, ia juga berpotensi menimbulkan risiko sekiranya sempadan antara “pelajar” dan “pekerja” tidak difahami dengan jelas.
Hakikatnya, tujuan utama latihan industri adalah untuk pembelajaran. Pelajar dihantar ke industri untuk memperoleh pengalaman, bukannya menggantikan tenaga kerja sedia ada. Mereka berada dalam fasa pembangunan kompetensi dan masih memerlukan bimbingan, pemantauan serta ruang untuk belajar daripada kesilapan yang terkawal.
Dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH), terdapat satu prinsip yang sering digunakan, iaitu competency before responsibility. Prinsip ini menegaskan bahawa seseorang hanya boleh diberikan tanggungjawab apabila mempunyai pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang mencukupi untuk melaksanakannya dengan selamat dan berkesan.
Walaupun pelajar mungkin cemerlang dalam akademik, mereka masih kekurangan pengalaman lapangan yang menjadi faktor penting dalam membuat keputusan di tempat kerja. Pengalaman membantu seseorang mengenal pasti bahaya yang tidak kelihatan, memahami risiko operasi serta bertindak balas terhadap situasi yang tidak dijangka. Kemahiran ini tidak boleh dibina melalui kuliah semata-mata.
Atas sebab itu, pelajar latihan industri tidak seharusnya diberikan tanggungjawab secara bersendirian untuk melaksanakan tugasan yang melibatkan risiko tinggi. Aktiviti seperti kerja di tempat tinggi, kerja elektrik, pengendalian bahan kimia berbahaya, operasi jentera berat, kerja dalam ruang terkurung (confined space) atau penyelenggaraan sistem kritikal memerlukan tahap kompetensi yang lebih tinggi serta pengawasan yang mencukupi.
Ini tidak bermaksud pelajar perlu diasingkan daripada operasi sebenar. Sebaliknya, mereka perlu didedahkan kepada persekitaran kerja secara berperingkat. Pada peringkat awal, pelajar boleh menjalankan pemerhatian dan pembelajaran. Setelah memahami prosedur kerja, mereka boleh membantu pelaksanaan tugas di bawah penyeliaan rapat sebelum diberikan tanggungjawab yang lebih besar mengikut tahap kompetensi masing-masing. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kualiti pembelajaran, malah mengurangkan risiko kemalangan dan kesilapan operasi.
Dalam pelbagai kenyataan berkaitan keselamatan pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sering menegaskan bahawa budaya keselamatan perlu menjadi sebahagian daripada budaya kerja organisasi. Keselamatan bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi atau audit, tetapi merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diterapkan kepada semua individu di tempat kerja, termasuk pelajar latihan industri.
Perkara ini menjadi semakin penting memandangkan ribuan kemalangan pekerjaan masih direkodkan setiap tahun di Malaysia. Walaupun kadar kemalangan dan kematian pekerjaan menunjukkan trend penurunan berbanding sedekad lalu, sektor yang melibatkan aktiviti teknikal dan operasi masih berhadapan dengan pelbagai risiko yang memerlukan kawalan yang ketat.
Oleh itu, organisasi yang menerima pelajar latihan industri perlu menyediakan beberapa keperluan asas sebelum pelajar memulakan tugas. Antaranya termasuk program induksi yang komprehensif, latihan keselamatan pekerjaan, penerangan mengenai prosedur kecemasan, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE), serta penjelasan yang jelas mengenai skop tugasan yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.
Di samping itu, setiap pelajar perlu mempunyai penyelia yang berperanan bukan sahaja memantau prestasi kerja, tetapi juga membimbing proses pembelajaran mereka.
Penyelia yang baik mampu membantu pelajar memahami hubungan antara teori dan amalan, di samping memastikan setiap tugasan dilaksanakan secara selamat.
Institusi pengajian tinggi juga mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang penting. Hubungan antara universiti dan organisasi perlu melangkaui urusan penempatan pelajar semata-mata. Pemantauan berkala perlu dilakukan bagi memastikan pelajar ditempatkan dalam persekitaran yang sesuai, menerima bimbingan yang mencukupi dan tidak diberikan tugasan yang berada di luar tahap kompetensi mereka.
Pada masa yang sama, pelajar sendiri perlu memahami bahawa latihan industri bukan sekadar peluang untuk menamatkan syarat graduasi. Mereka perlu bersikap proaktif untuk belajar, bertanya apabila tidak memahami sesuatu prosedur dan berani mendapatkan penjelasan sekiranya diarahkan melakukan tugas yang dirasakan berisiko atau di luar kemampuan mereka.
Latihan industri yang berjaya sebenarnya bergantung kepada kerjasama tiga pihak iaitu institusi pengajian tinggi, organisasi dan pelajar. Apabila ketiga-tiga pihak memahami peranan masing-masing, latihan industri mampu menjadi platform yang berkesan untuk melahirkan graduan yang kompeten, beretika dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.
Kesimpulannya, pelajar latihan industri perlu dilihat sebagai individu yang sedang dibentuk, bukannya pekerja yang telah siap dibentuk. Mereka memerlukan ruang untuk belajar, peluang untuk berkembang dan bimbingan untuk membina kompetensi profesional. Tanggungjawab industri bukan sekadar memberi pengalaman kerja, tetapi memastikan pengalaman tersebut berlaku dalam persekitaran yang selamat, terkawal dan benar-benar menyumbang kepada pembangunan masa depan mereka. Pelajar datang ke industri untuk membina masa depan, bukan mempertaruhkan masa depan mereka.

Siti Fatimah Mohd Noor
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Dan Matematik
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Jun 2026: Pelajar intern: Belajar bekerja atau galas tanggungjawab pekerja?
Pelajar intern: Belajar bekerja atau galas tanggungjawab pekerja?
2. Bernama (bernama.com), 26 Jun 2026: Pelajar Latihan Industri: Belajar Bekerja Atau Galas Tanggungjawab Pekerja?
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2571766#abc
3. Utusan Malaysia (muka surat: 26), 7 Julai 2026: Pelatih bukan pengganti pekerja

4. Utusan (utusan.com.my), 7 Julai 2026: Pelatih bukan pengganti pekerja
https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2026/07/pelatih-bukan-pengganti-pekerja/
