Malaysia merupakan negara yang terletak di luar Lingkaran Api Pasifik dan laluan angin taufan yang mampu menjadikan negara ini bebas daripada bencana alam seperti gempa bumi, letupan gunung berapi dan tiupan angin taufan.

Walau bagaimanapun, perubahan iklim yang semakin ketara pada abad ke-21 ini telah menyebabkan kenaikan paras air laut, musim kemarau dan kuantiti hujan yang ekstrem. Banjir yang melanda di Selangor pada hujung tahun 2021 merupakan banjir yang agak serius dihadapi dan telah meragut lebih daripada 50 nyawa dan merosakkan pelbagai harta benda dan melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit.

Fenomena ini turut menjadi satu cabaran utama oleh jurutera awam dalam mereka bentuk infrastruktur dan struktur bangunan pada masa kini. Banjir juga turut membuatkan pemilik bangunan bimbang terhadap risiko akibat daripada kejadian ini. Persoalan yang timbul ialah adakah struktur bangunan yang dilanda oleh banjir besar masih selamat?

Reka bentuk struktur bangunan di Malaysia perlu berdasarkan garis panduan dan kod amalan seperti British Standard dan Eurocode. Beban yang biasa dipertimbangkan oleh jurutera struktur dalam reka bentuk struktur bangunan rendah ialah beban mati dan beban kenaan.

Beban lain seperti beban angin, beban seismik dan getaran hanya diambil kira untuk bangunan tertentu. Beban akibat daripada banjir biasanya tidak dipertimbangkan dalam reka bentuk struktur bangunan. Semasa banjir, tekanan yang terbentuk oleh aliran air banjir ke atas bangunan adalah beban hidrostatik dan hidrodinamik. Intensiti tekanan ini bergantung kepada paras air dan halaju aliran.

Kerosakan pada bangunan semasa banjir boleh disebabkan oleh tekanan ufuk hidrostatik akibat kenaikan paras air, tekanan dinamik akibat daripada gelombang air yang mengalir dan kenderaan berat yang melalui tempat banjir dan beban impak akibat daripada objek-objek yang terapung dan mengalir pada tempat banjir seperti kayu, komponen bangunan dan kenderaan yang melanggar bangunan. Serpihan terapung yang besar dan berat adalah berbahaya kepada struktur bangunan yang lemah.

Dari segi kejuruteraan, komponen bangunan boleh dibahagikan kepada komponen tanpa tanggung beban seperti dinding batu bata atau batu blok dan struktur tanggung beban iaitu penapak, tiang, rasuk dan papak. Kebanyakan struktur utama bangunan terdiri  daripada struktur konkrit bertetulang. Kayu adalah salah satu bahan binaan tradisional. Biasanya bangunan rendah yang dibina daripada struktur kayu didapati di kawasan luar bandar. Sifat semula jadi kayu menjadikan bahan binaan ini tidak sesuai digunakan di kawasan zon banjir. Kekuatan dan ketahanlasakan kayu akan merosot apabila kandungan lembapan yang tinggi semasa banjir.

Keselamatan struktur bangunan terutamanya kestabilan struktur bangunan mesti dipandang serius semasa dan selepas banjir terutamanya bangunan yang berhampiran dengan tebing sungai atau parit tanah. Aliran air yang deras semasa banjir boleh mengakibatkan kehilangan tanah di sekeliling struktur bangunan menyebabkan mendapan, keretakan dan keseimbangan terhadap struktur bangunan. Walau bagaimanapun, kebanyakan bangunan yang dilanda banjir hanya mengalami kerosakan komponen atau elemen bukan struktur seperti kerosakan pada bingkai pintu dan tingkap. Pintu dan tingkap tidak dapat ditutup dengan betul akibat daripada pengembangan dan pengecutan bingkai dan pintu yang dibuat daripada bahan binaan kayu.

Tanda pertumbuhan kulat sering dijumpai pada bahagian dinding dan lantai selepas banjir. Ia perlu dibersihkan secepat mungkin agar tidak membahayakan kesihatan penghuni bangunan. Keretakan pada permukaan dinding juga boleh berlaku akibat daripada pengecutan yang tidak seragam selepas banjir. Disamping itu, struktur konkrit yang mempunyai kualiti penutup konkrit yang lemah juga senang mengalami keretakan. Untuk jangka masa panjang, struktur konkrit bertetulang yang tidak mempunyai penutup konkrit yang cukup atau konkrit yang berkualti rendah akan mengalami keretakan (spalling) akibat daripada pengaratan tetulang di dalamnya.

Secara amnya, struktur bangunan yang direkabentuk dan dibina mengikut spesifikasi mempunyai ketahanlaksakan yang tinggi dengan kebolehtelapan air yang rendah dan hanya kerosakan minimum apabila dilanda banjir.

 

Artikel ini juga diterbitkan di..

Malaysia Gazette, 11 Jan 2022

https://malaysiagazette.com/2022/01/11/pasca-banjir-apa-pemilik-rumah-perlu-tahu-tentang-struktur-bangunan/

 

Profesor Madya Ir. Dr. Norwati Jamaluddin

Koh Heng Boon

Pusat Penyelidikan Jamilus – Pembinaan Lestari

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)