Bagi mendedahkan peserta dengan pengetahuan pengendalian dron melibatkan aspek teknikal, undang-undang, penyelenggaraan serta kaedah penerbangan dron yang betul dan selamat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Unit Pembangunan Modal Insan (UPEMI), Pejabat Pendaftar telah menganjurkan Kursus Asas Pengendalian Dron (Basic Drone Operator Training pada 9-10 September lalu bertempat di Pusat Minda Emas (PuMAS) UTHM, Tanjung Laboh, Batu Pahat.

Kursus yang juga dikendalikan oleh Archidrone Sdn. Bhd. selaku perunding ini melibatkan peserta seramai 20 orang dari pelbagai agensi dan universiti, termasuk kaki tangan yang terpilih dari UTHM sendiri.

Kursus ini juga dianjurkan bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan kemahiran keusahawanan, pengetahuan digital dan asas teknikal mengenai teknologi dron agar mereka dapat menghadapi cabaran dan situasi PKP terkini yang disebabkan penularan pandemik Covid-19. Program asas ini turut menambah baik dan meningkatkan kemahiran (skillset) teknologi dron kepada peserta dalam mempersiapkan mereka untuk mengikuti kursus pensijilan dron yang lebih tinggi seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tiga, agar relevan dengan visi ekonomi negara ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Bagi memastikan keberkesanan program ini, UPEMI selaku penganjur turut memastikan peserta didedahkan dengan pelbagai aspek latihan merangkumi kuliah, persembahan video, simulator dan latihan praktikal lapangan. Konsep Hands-on diyakini dapat memberi pengalaman secara langsung sekali gus meningkatkan kompetensi para peserta. Kemudahan fasiliti yang lengkap dan teratur menambahkan lagi kelancaran program.

Sementara itu, Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Archidrone Sdn. Bhd., Muhammad Rufi A. Latiff, penggunaan dron bukan sekadar untuk mengambil gambar, ia juga digunakan secara meluas di pelbagai industri utama seperti memantau tatacara kerja kemajuan pembinaan bangunan, membaja hasil tanaman, memantau keselamatan semasa bencana serta bantuan kemanusiaan.

Hadir sama, Pengarah Pembangunan Perniagaan, Norman Tasli Mohd Razali. Beliau turut menyatakan hasratnya untuk meningkatkan modal insan terutamanya di daerah Batu Pahat yang sangat berpotensi menjadi salah satu hub pembangunan digital dan teknologi terkini. Justeru dalam program ini, Archidrone Sdn. Bhd. selaku perunding menyediakan seramai tiga orang lagi tambahan tenaga pengajar teknikal yang bertauliah.

Setiap peserta kursus diberikan sijil yang dikeluarkan oleh UTHM dan dron agar mereka dapat terus berlatih sendiri selepas berkursus. Pensijilan tersebut dilihat mampu memberi nilai tambah yang signifikan untuk para peserta, yang mana mereka akan mendapat reputasi yang lebih tinggi sebagai pengendali dron dan mampu mengaplikasi serta menambah baik kualiti kerja mereka.