Bagi menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara, 10 staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melukis mural sepanjang 25 meter di dinding Kompleks Kolam Renang, kampus induk.

Ketua Projek Mural UTHM #MerekaJagaKita, Khairul Akmal Rahimi Ahmad Kamil berkata, idea kreatif itu diterajui oleh Pejabat Pendaftar UTHM dan mengambil masa hampir seminggu untuk disiapkan.

“Lukisan mural sepanjang 25 meter ini diilhamkan oleh beberapa staf sebelum ia diketengahkan kepada pihak pengurusan universiti sekali gus berjaya dihasilkan sebagaimana yang kita lihat sekarang.

“Lukisan ini diabadikan di sini (Kompleks Kolam Renang UTHM) kerana lokasinya yang strategik kerana berada berhampiran pintu masuk universiti.

Ia juga sebagai ingatan kepada kita semua, selain memberikan kesedaran kepentingan memakai pelitup muka ketika penularan Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas berlangsungnya Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-63, UTHM di kampus induk pada 10 September lalu. Majlis yang disempurnakan oleh Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly itu turut diisi dengan sesi perasmian Mural, acara Kayuhan Merdeka Fun Ride dan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Fotografi dan peserta ‘Merdeka Ride Paling Kreatif.’

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman  dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa serta pegawai-pegawai kanan universiti.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr. Wahid Razzaly berkata, usaha itu menepati langkah pihaknya untuk memastikan warga universiti sentiasa peka bagi meneruskan kehidupan dalam norma baharu.

“Mural berkenaan diisi dengan wajah-wajah golongan barisan hadapan negara bersama bendera Malaysia dan Johor, di samping bangunan ikonik UTHM iaitu Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM serta Masjid Sultan Ibrahim, UTHM.

“Lukisan mural ini juga sebagai peringatan kepada warga UTHM dengan kesusahan mengharungi pandemic Covid-19, terutamanya bagi staf dan juga pelajar universiti ini,” ujarnya.