Dato’ Sri Ibrahim Ahmad dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM

Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, 63 dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk tempoh tiga tahun bermula 26 Oktober 2020 ini sehingga 25 Oktober 2023....

Dato’ Sri Ibrahim Ahmad, 63 dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk tempoh tiga tahun bermula 26 Oktober 2020 ini sehingga 25 Oktober 2023.

Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad itu selaras dengan Seksyen 17 (1) (a) Perlembagaan UTHM, bagi menggantikan Dato’ Dr. Mohd. Sofi Osman yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi  (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ibrahim sebelum ini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Terdahulu, beliau turut menyandang beberapa jawatan lain antaranya Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejak tahun 2010 setelah memegang  jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan), Pengarah Kanan Latihan dan Pendidikan serta Pengarah Bahagian Sumber Manusia MARA selama tiga tahun.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan lain antaranya Timbalan Pengerusi Majlis MARA, Pengerusi MARA Corporation Sdn. Bhd., Pengerusi Majlis MARA dan Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA iaitu sebuah yayasan yang meningkatkan status sosio-ekonomi Melayu dan Bumiputera melalui pendidikan serta Pengerusi Lembaga Amanah Saham MARA Berhad yang kini dikenali sebagai Pelaburan MARA Berhad, iaitu satu institusi yang berkaitan dengan pelaburan, pengurusan aset, aktiviti pembiayaan dan penasihatan korporat.

Ibrahim juga pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada tahun 2011 sehingga 2017 selain beberapa jawatan lain hasil komitmen jitu yang diberikan.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly berkata dengan pengalaman luas yang dimiliki Dato’ Sri, pihak universiti berharap beliau dapat menyumbang tenaga dan buah fikiran dalam menjadikan UTHM sebagai sebuah institut pengajian tinggi bertaraf global selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

“Pihak universiti juga merakamkan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada Dato’ Dr. Mohd. Sofi yang telah menyumbang bakti kepada UTHM sepanjang tempoh lantikan,” katanya.

Categories
Berita Umum

RELATED ARTICLE