Kumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malysia (UTHM) telah meraih tiga pingat emas, tiga pingat perak, empat pingat gangsa, Anugerah Khas dan Anugerah Best of the Best di Malaysia Technology Expo 2017 yang berlangsung pada 16 hingga 18 Februari baru-baru ini.

Untuk MTE 2017 ini, UTHM telah menghantar 10 penyertaan yang kesemuanya berjaya membawa pulang pingat masing-masing.Lebih membanggakan lagi penyelidik UTHM iaitu Dr. Nickholas Anting Anak Guntur telah memperoleh Anugerah Khas dan Best of the Best Award MTE 2017 melalui produk MOVAL Drain System.

MTE 2017 yang telah disempurnakan oleh Dato’ Norhalim Yunus dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah merupakan penganjuran kali ke 17. Pertandingan kali ini telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Invention Innovation Awards 2017, Malaysia International Design Expo Awards (mIDEAS) 2017 dan Asian Youth Innovation Awards Expo 2017. Lebih dari 300 penyertaan telah bertanding pada kali ini termasuk penyertaan dari luar negara antaranya Indonesia, Croatia dan Taiwan.

Penyertaan UTHM ke MTE 2017 merupakan langkah terbaik bagi para penyelidik untuk mendapat pengiktirafan mempromosi serta mengkomersilkan teknologi dan inovasi terbaharu yang dihasilkan oleh pereka cipta dan penyelidik di peringkat antarabangsa dan pasaran global. Penyertaan MTE 2017 ini diharapkan dapat menjadi batu loncatan kepada penyelidik universiti untuk mengkomersilkan teknologi-teknologi yang dihasilkan serta mendapat pengiktirafan dan akan terus berjaya lagi di masa hadapan.