BATU PAHAT – International Research and Innovation Symposium Competition (RISE) 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim (DSI), kampus induk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 10 dan 11 Jun 2026 berjaya menghimpunkan sebanyak 400 produk penyelidikan dan inovasi di bawah tujuh kluster utama.
Penganjuran RISE kali ini melibatkan penyertaan penyelidik, pensyarah serta pelajar UTHM, institusi pengajian tinggi awam dan swasta dan sekolah-sekolah dari seluruh Malaysia, serta peserta dari National Institute of Technology (KOSEN) Kure College.
Menurut Pengarah Innovation Commercialisation Centre (ICC) UTHM, Profesor Eur. Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan, penganjuran RISE 2026 yang bertemakan “Innovating Sustainability and Transportation Beyond Boundaries” bertepatan dengan bidang tumpuan strategik UTHM iaitu Sustainable Technology and Transportation.
Beliau berkata, tema tersebut mencerminkan aspirasi universiti dalam meneroka dan mengetengahkan penyelesaian inovatif yang mampu menyokong pembangunan mampan, kemajuan teknologi serta transformasi sektor pengangkutan pada peringkat nasional dan global.
“Pada tahun ini, RISE 2026 turut menerima kira-kira 2,000 pengunjung yang terdiri daripada wakil industri, pelajar sekolah, warga institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum.
“Sambutan yang menggalakkan ini membuktikan minat dan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan teknologi dalam pembangunan negara,” katanya.
Beliau menambah, RISE 2026 yang dianjurkan sempena sambutan Hari TVET Negara turut mencerminkan komitmen UTHM sebagai sebuah universiti berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, inovatif dan berdaya saing.
“Selaras dengan semangat Dengan Hikmah Kita Meneroka, pihak kami berharap hasil penyelidikan dan inovasi yang diketengahkan melalui program ini dapat diterjemahkan kepada teknologi, produk dan penyelesaian yang memberi impak positif kepada industri, masyarakat dan pembangunan negara secara mampan,” katanya.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah yang diadakan pada 11 Jun telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc selaku wakil rasmi Naib Canselor.
Selain pertandingan inovasi, RISE 2026 turut menyediakan platform kepada pemain industri untuk mempamerkan produk dan teknologi terkini di samping menjalin kerjasama strategik dengan universiti.
Penglibatan industri dalam bentuk penajaan dan pameran memperkukuh ekosistem inovasi serta membuka peluang kepada penyelidik untuk memperluaskan jaringan kerjasama dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
Pada tahun ini, UTHM menerima tajaan berupa barangan dan tunai daripada AMNI Food Industries Sdn. Bhd., Khamsa, Avitek Solution, Cafeins & Calories, FKAAB Consult, Pantai Hospital Melaka, Metro System Academy, D & H Home, Specky Panda, Adino Ventures, Prestige Lim Motor Sdn. Bhd. dan Prestige Wheels Sdn. Bhd. yang mewakili jenama Chery dan JAECOO.
Menurut Prof. Shahiron, sokongan yang diberikan oleh pihak industri itu mencerminkan keyakinan mereka terhadap usaha UTHM dalam memperkasa penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan teknologi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi negara.



