Batu Pahat – Kumpulan penyelidik “Flux-Switching Machine (FSM)” diketuai oleh Prof Madya Ir. Dr Erwan Sulaiman dari Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan (EMC), Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) telah mencipta sejarah tersendiri setelah inovasi mereka dinobatkan sebagai pemenang “Diamond Award” dan “Gold Award” dalam pertandingan Invention, Innovation and Design (IID) Johor 2017 yang berlangsung pada 9 Mac lalu di Amansari Residence Resort Bandar Seri Alam, Johor. Pasukan itu telah berjaya meyakinkan pihak juri menerusi dua produk inovasi mereka yang diberi nama “Direct-Drive Motor (D2)” dan “Mobile Power Supply (MoPS)”.

“Direct-Drive Motor” atau dikenali sebagai D2 motor adalah sejenis motor elektrik tiga fasa yang diaplikasikan untuk skuter motosikal. D2 Motor berpotensi untuk menghasilkan tork setinggi 120 Nm dan keluaran kuasa sehingga 77 kW berbanding produk asal keluaran ECLIMO yang hanya berkeupayaan 110 Nm dan 6 kW. Produk ini mempunyai diameter 264 mm, lebar 70 mm dan hanya menggunakan 1.0 kg magnet kekal sahaja. Ini bermakna bahawa D2 Motor berjaya dihasilkan dengan kadar yang lebih ringan dan kecil yang mana secara tidak langsung lebih murah dan jimat dari segi kos pembuatan dan penghasilan. Produk ini dihasilkan dengan kerjasama dari pihak ECLIMO Sdn Bhd iaitu syarikat pengeluar skuter elektrik yang beroperasi di Pulau Pinang, Malaysia. Produk ini juga dibiayai oleh geran penyelidikan U401 dan telah didaftarkan dibawah Akta Hak Cipta dan Paten bernombor rujukan LY 201500025, PI 2016000493 dan PI 2014702932.

Sementara itu, “Mobile Power Supply (MoPS)” atau “Bekalan Kuasa Mudah Alih” merupakan alat mudah alih yang membekalkan tenaga elektrik (arus ulang-alik) untuk semua peralatan elektrik.Produk seberat 3kg ini mempunyai 4 port USB, 2 soket AC, dan juga lampu LED digital yang mudah dikendali, selamat dan tidak mencemarkan alam sekitar.

Menerusi produk ini, bekalan elektrik mudah diperoleh pada bila-bila masa dan di mana sahaja seperti di rumah, bazar ramadhan, aktiviti berkelah, pasar malam dan terutamanya ketika kecemasan. Produk ini juga telah didaftarkan dibawah Akta Hak Cipta bernombor rujukan LY 2017000793 menerusi geran penyelidikan ICI-I010 dan sedang dalam proses pengkomersialan melalui perjanjian kerjasama dengan pihak industri.

Sebagai tambahan, produk-produk inovasi lain yang dihasilkan dari pasukan penyelidikan ini telah memenangi beberapa anugerah di dalam dan luar negara seperti “Gold Award” dalam Malaysia Technology Expo 2017, “Best of Gold” dalam Research and Innovation Fair (R I) 2016, “Gold Award” dalam Research and Innovation Fair (R I) 2017, dan “Gold Prize” dalam Seoul International Invention Fair 2014 (SIIF) serta beberapa “Silver Awards” dan “Bronze Awards”.