McDonald’s meraikan pelajar Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang selesai menjalani penempatan selama setahun dalam majlis ringkas “UTHM 2U1i Internship & Work-based Learning (WBL) Program Graduation Ceremony” bertempat di Ibu Pejabat Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., Damansara, Kuala Lumpur pada 27 Februari 2023.

Program anjuran McDonald’s Malaysia itu bertujuan meraikan 19 pelajar Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian yang telah menamatkan program Work-based Learning dan Intership selama setahun di McDonald’s Malaysia.

Majlis tersebut merupakan salah satu komitmen McDonald’s Malaysia dalam menyokong inisiatif UTHM dan KPT dalam immersive experiential learning dan competency-based learning.

Majlis itu juga menyaksikan salah seorang pelajar UTHM, Nur Alia Mohamad Radzali telah dinobatkan  ‘Pelajar Terbaik’ dalam pencapaian prestasi kerja dan akademik oleh McDonald’s Malaysia.

Beberapa pelajar juga mendapat pengiktirafan pencapaian cemerlang sepanjang mereka berada di industri.

Menurut Timbalan Presiden (VP) Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd., Azhar Derbi platform sebegitu dapat membantu membuka ruang dan peluang kepada pelajar-pelajar tersebut meneruskan kerjaya mereka sebagai ‘Pengurus Restoren’ di McDonald’s Malaysia.

Majlis ringkas itu juga turut dihadiri oleh Mohd Akmal Rohiat, Pensyarah Program Sarjana Muda Teknologi Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian serta delegasi dari FPTV, UTHM dan Marzita Primus, Pengurus Kanan, Bahagian Latihan, Pembelajaran dan  Pembangunan Kerjaya Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd.

Untuk rekod, McDonald’s Malaysia telah menjalinkan kerjasama dengan UTHM melalui satu memorandum persefahaman sejak tahun 2022 lalu bagi menyediakan laluan pembelajaran berstruktur berasaskan pekerjaan dalam bidang perkhidmatan makanan.

Kerjasama tersebut mempamerkan peranan kedua-dua pihak dalam memberi ruang dan peluang latihan kepada staf dan pelajar, serta pemindahan teknologi dan ilmu terkini selaras dengan misi UTHM dalam menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid.