Oleh Ts. Mohamad Zaky Chumari, Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim
BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh jaringan kerjasama bersama 59 syarikat dan organisasi industri di seluruh negara menerusi pelaksanaan Work-Based Learning (WBL) bagi melahirkan graduan TVET yang lebih kompeten, berkemahiran dan bersedia menghadapi dunia pekerjaan.
Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan industri tersebut, seramai 142 pelajar telah ditempatkan secara langsung dalam pelbagai sektor industri bagi menjalani pengalaman kerja sebenar sepanjang tempoh pengajian sejak 16 Mac 2026.
Pelaksanaan WBL bukan sekadar memberi pengalaman latihan industri biasa, malah menjadi platform strategik yang menghubungkan pembelajaran akademik dengan keperluan sebenar industri semasa.
Menerusi kolaborasi erat bersama pihak industri, pelajar didedahkan kepada penggunaan teknologi terkini, budaya kerja profesional, pengurusan operasi serta cabaran sebenar di tempat kerja.
Penempatan tersebut melibatkan pelbagai sektor strategik termasuk automasi industri, teknologi kimpalan, pemesinan, pembinaan, elektrikal, perkhidmatan makanan serta teknologi penyejukan dan penyamanan udara.
Antara organisasi yang terlibat termasuk Toshiba Transmission & Distribution Systems Asia Sdn. Bhd., Carrier Malaysia Sdn. Bhd., Malaysia Marine & Heavy Engineering, Sunway Group dan pelbagai lagi pemain industri di seluruh Malaysia.
Program WBL di UTHM dilaksanakan melalui penempatan industri secara penuh selama setahun, membolehkan pelajar terlibat secara langsung dalam tugasan dan operasi sebenar mengikut bidang pengajian masing-masing.
Pelaksanaan WBL itu turut diperkukuh melalui penglibatan aktif pihak industri dan koordinasi strategik antara akademik serta rakan industri dalam memastikan graduan TVET kekal relevan dengan kehendak semasa sektor pekerjaan.
Menurut Felo Perhubungan Industri dan Penolong Penyelaras Work-Based Learning (WBL), FPTV, Ts. Mohamad Zaky Chumari, kerjasama strategik bersama industri membolehkan pihak universiti memahami keperluan sebenar tenaga kerja semasa, termasuk dari aspek kemahiran teknikal, penggunaan teknologi dan kompetensi profesional yang diperlukan dalam sektor pekerjaan.
”Melalui pelaksanaan WBL, pihak industri bukan sahaja berperanan sebagai rakan strategik dalam pembangunan pelajar, malah turut berpeluang mengenal pasti potensi pelajar lebih awal sebagai bakal tenaga kerja mahir.
”Pendekatan ini secara tidak langsung membantu mengurangkan jurang antara institusi pendidikan dan kehendak sebenar industri,” katanya.
Pernyataan itu turut disokong oleh Ketua Program B.Tech Kimpalan, FPTV, Ir. Ts. Muhammad Muhd Salleh yang berpandangan bahawa pendekatan WBL berjaya mengurangkan jurang antara pembelajaran akademik dan kehendak sebenar industri.
”Pelajar bukan sahaja belajar di dalam kelas, tetapi mereka turut terlibat secara langsung dalam penyelesaian masalah sebenar industri.
”Pengalaman ini menjadikan mereka lebih yakin, matang dan bersedia apabila tamat pengajian,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek tahun akhir pelajar dibangunkan berdasarkan isu sebenar di industri tempat mereka ditempatkan, sekali gus menghasilkan penyelesaian yang lebih praktikal dan relevan kepada organisasi terlibat.
Komitmen berterusan FPTV dalam memperkukuhkan kerjasama universiti-industri melalui pendekatan WBL itu selari dengan usaha memperkasakan agenda TVET negara serta melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang lebih kompetitif, adaptif dan memenuhi keperluan industri masa hadapan.
