Oleh Ts. Dr. Khairul Rijal Wagiman, Dr. Siti Noor Fauziah Abd Rahim

PUTRAJAYA, 21 April 2026 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kecemerlangan dalam agenda pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) apabila pelajarnya berjaya meraih anugerah AI Program CendekiAwan Malaysia iaitu satu inisiatif pembangunan bakat digital anjuran Amazon Web Services (AWS).

Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Ang Ke Sin telah dinobatkan sebagai juara kategori Sustainable Environment & Climate menerusi projek inovasi AI bertajuk ’KitarSemula AI.’

Projek tersebut dibangunkan menggunakan platform PartyRock yang membolehkan pembangunan aplikasi AI generatif tanpa kod secara pantas.

Pencapaian itu diraih hasil pelaksanaan program pembangunan bakat digital UTHM yang diselaraskan oleh Ts. Dr. Khairul Rijal Wagiman daripada Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), dengan penyertaan lebih 4 ribu pelajar dari kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Country Manager AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali .

Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan memperkasakan generasi muda dengan teknologi terkini.

“Apabila kita memperkasakan pelajar dengan alat seperti ‘PartyRock’ dan teknologi Generative AI, kita bukan sekadar mengajar kemahiran, tetapi membolehkan mereka membentuk masa depan yang mereka impikan,” katanya.

Untuk rekod, program dengan kerjasama Elitery Global Technology Sdn. Bhd. yang julung kali diadakan di Malaysia itu melibatkan penyertaan lebih 13 ribu peserta.

Selain UTHM, program berprestij ini turut disertai oleh lima universiti utama lain iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Terdahulu, program latihan intensif di peringkat UTHM telah berlangsung pada 24 November sehingga 19 Disember 2025 lalu dengan sokongan sembilan jurulatih bertauliah AWS serta tiga fasilitator dalam kalangan pensyarah UTHM di bawah koordinasi Ts. Dr. Khairul Rijal.

Melalui bimbingan berstruktur tersebut, UTHM berjaya menghantar sebanyak 65 projek inovasi AI yang merangkumi pelbagai kategori pertandingan termasuk GovTech & Social, Smart Education, Financial Inclusion & SME Empowerment serta Digital Health.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Hasril Amiruddin, Dekan FPTV, pencapaian itu menyerlahkan potensi besar pelajar UTHM apabila diberikan akses dan latihan yang tepat kepada teknologi masa hadapan.

“Kejayaan ini membuktikan keupayaan pelajar UTHM dalam menguasai teknologi Generative AI dan pengkomputeran awan bagi menghasilkan penyelesaian inovatif berimpak tinggi, selaras dengan agenda kelestarian global serta keperluan ekonomi digital masa hadapan.

“Program dan pensijilan ini mampu memberi kesan signifikan kepada pelajar dalam memenuhi kehendak industri.

“Pencapaian ini sekali gus memperkukuh komitmen UTHM sebagai universiti berteraskan teknologi dan TVET yang terus melahirkan graduan berkemahiran tinggi, inovatif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Hadir sama ke majlis itu, Ts. Dr. Zurina Yasak, wakil Dekan FPTV; Profesor Madya Ts. Dr. Khalid Isa, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar; Ts. Dr. Khairul Rijal dan Ir. Ts. Muhammad Mohamed Salleh selaku penyelaras dan jurulatih program AWS CendekiAwan; serta Ts. Dr. Shuhaida Ismail, pensyarah merangkap pembimbing dari FSKTM.

Ang Ke Sin (tiga dari kanan) bergambar bersama penyelaras dan pensyarah yang hadir sama ke majlis anugerah tersebut.