Pelatih RELASIS UTHM dinobat Relawan Terbaik Johor 2026

Oleh PPjKR (Bersekutu) Ts. Haji Mohd Hatta Haji Mohamed Ali @ Md Hani

MERSING – Briged RELA Siswa-Siswi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (RELASIS UTHM) terus menyerlah apabila salah seorang pelatihnya, Muhammad Naim Ahmad Badri dinobatkan sebagai Relawan Terbaik dalam Kem Tahunan RELASIS Peringkat RELA Negeri Johor Tahun 2026.

Kem anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Negeri Johor itu berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga 19 April 2026 di Dataran Pantai Air Papan, Mersing, Johor.

Program tahunan tersebut menghimpunkan seramai 69 relawan dan relawati RELASIS daripada tiga institusi pengajian tinggi melibatkan empat kontinjen, iaitu UTHM, Politeknik Mersing Johor dan Politeknik Ibrahim Sultan.

Penyertaan RELASIS UTHM dalam kem ini membuktikan komitmen universiti dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki jati diri, disiplin, semangat kesukarelawanan dan kepimpinan.

Sepanjang kem berlangsung, para pelatih mengikuti pelbagai latihan teori dan praktikal bagi memperkukuh kemahiran asas kesukarelawanan, keselamatan komuniti serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana.

Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk Khidmat Bakti RELA, Asas Pertolongan Cemas, Kaedah Asas Menyelamat, Kemahiran Menyelamat, Asas Ikatan dan Simpulan serta Tatacara Pengurusan dan Operasi.

Peserta turut didedahkan dengan latihan Pengurusan Bencana dan Krisis, Ilmu Kemahiran Medan (IKM), Asas Ikhtiar Hidup serta Kaedah Pandu Arah.

Melalui pengisian tersebut, peserta RELASIS UTHM berpeluang mengukuhkan kemahiran lapangan, ketahanan fizikal dan mental, kerja berpasukan, komunikasi serta keupayaan membuat keputusan dalam situasi mencabar.

Kejayaan Muhammad Naim menerima anugerah Relawan Terbaik merupakan pencapaian membanggakan buat RELASIS UTHM, sekali gus mencerminkan disiplin, komitmen dan daya kepimpinan mahasiswa UTHM dalam aktiviti beruniform serta kesukarelawanan.

Majlis penutup kem telah disempurnakan oleh PPjR Ganesan A/L Selvam, Timbalan Pengarah RELA Negeri Johor.

Beliau dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pelatih, jurulatih dan institusi yang terlibat kerana menunjukkan komitmen tinggi sepanjang kem berlangsung.

Beliau turut menyeru para peserta agar menjadi relawan yang bukan sahaja beruniform, tetapi berjiwa besar, sentiasa bersedia membantu masyarakat dan memberi manfaat kepada negara.

Penganjuran kem itu menjadi platform penting dalam membentuk mahasiswa yang berjiwa sukarelawan, berdisiplin, berkemahiran dan bersedia berkhidmat kepada komuniti.

Bagi RELASIS UTHM, penyertaan dalam program seumpama itu bukan sahaja membuka ruang kepada mahasiswa menimba pengalaman baharu, malah memperkukuh imej UTHM sebagai universiti yang komited melahirkan graduan holistik, seimbang dan berdaya saing.

Artikel Berkaitan

Terkini