Oleh Noor Farhanah Mohamad Amin
KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya merangkul empat pingat emas dan lima pingat gangsa ketika menyertai Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 yang berlangsung pada 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Universiti Malaya (UM) serta beberapa lokasi sekitar Lembah Klang.
Sembilan pingat tersebut disumbangkan menerusi acara Pencak Silat Olahraga Kelas E Putra, Kelas F Putra, Kelas C Putri, Taekwondo Kyorugi – Lelaki (74-80kg), Petanque – Double Lelaki, Triple Wanita, Taekwondo Kyorugi – Wanita (57-62kg), Kayak – TK2 Campuran 200 meter dan Pencak Silat Olahraga – Kelas C Putra.
Kejayaan itu menempatkan UTHM di tangga 14 daripada 64 kontinjen yang bertanding sekali gus menjadikan sasaran pingat bagi tahun 2026 tercapai.
Kontinjen UTHM pada edisi kali ini menghantar 16 pasukan yang terdiri daripada sukan kayak, futsal lelaki, petanque, olahraga, bola baling, taekwondo, bola tampar, silat, sepak takraw, skuasy, e-sukan, catur, ping pong, memanah, lawn bowls dan bola sepak.
Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan Universiti, Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh turut mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang berjaya meraih pingat
“Saya berharap pencapaian tersebut dapat menjadi pemangkin kepada UTHM untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih besar pada temasya sukan akan datang.
“Kontinjen UTHM telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dan sekali gus mencapai sasaran awal iaitu dua pingat emas dan berada di kedudukan 20 IPT terbaik.” katanya.
Untuk rekod, temasya dwitahunan edisi kali itu menghimpunkan seramai 7,000 atlet daripada 64 kontinjen institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Sebanyak 30 acara sukan dipertandingkan dengan 229 pingat emas dipertaruhkan.











