BATU PAHAT – Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim hari ini telah menyampaikan amanat beliau bagi tahun 2023 kepada seluruh warga kerja universiti.

Majlis Amanat yang disampaikan secara fizikal dan dalam talian itu menjadi platform kepada Naib Canselor untuk menyampaikan hasrat dan perancangan universiti bagi tahun semasa.

Prof. Ruzairi dalam ucapannya berkongsi tentang ringkasan pencapaian Key Performance Indicator (KPI) utama universiti pada tahun 2022 dan 15 KPI Utama bagi tahun 2023 yang perlu diberi perhatian dan kerjasama oleh warga kampus.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah bertungkus lumus dalam memastikan sasaran atau KPI pada tahun lalu dapat dicapai.

Pada masa yang sama, Prof. Ruzairi turut mengimbas kembali intipati perutusan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini yang menyentuh 11 perkara fokus dengan memberi penekanan kepada tiga perkara iaitu Pengurusan KPT dan Kepimpinan Universiti, Rombakan Terhadap Sistem dan Ekosistem TVET Nasional dan Kualiti dan Kecemerlangan Akademik.

Beliau juga turut mengingatkan warga kerja untuk memberi perhatian yang lebih kepada beberapa perkara antaranya pelaksanaan Inisiatif Utama UTHM melalui empat fungsi dan objektif universiti iaitu UTHM Edu-Train, UTHM Technopreneur, UTHM Prihatin dan UTHM Governan berlandaskan enam tonggak Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

Beliau dalam ucapannya sekali lagi menyeru warga kampus agar bersama-sama menjayakan hala tuju universiti iaitu Global Technopreneur University 2030 (GTU 2030) yang bermatlamat meletakkan UTHM sebagai universiti peneraju dalam melahirkan golongan teknousahawan negara.

“Bagi mencapai GTU 2030, saya berharap kita semua dapat bekerja secara berkumpulan, bersedia untuk berubah dengan bersikap terbuka dan bersedia menimba ilmu baharu di samping berusaha meningkatkan kreativiti dengan mencipta inovasi dan berimaginasi kreatif bagi menyelesaikan masalah.

“Lakukanlah semua tugas yang diamanahkan dengan ihsan dengan mengamalkan sikap saling bantu membantu dan mengambil peduli terhadap rakan-rakan sekeliling,” katanya.

Turut berlangsung sesi pelancaran Sistem UTHM Expert Management System (U-EMAS) UTHM iaitu satu sistem yang memaparkan maklumat berkaitan profil penyelidik, maklumat penerbitan ilmiah dan juga aktiviti penyelidikan staf dan pelajar.

Sistem yang dibangunkan oleh Perpustakaan Tunku Tun Aminah dengan kerjasama Pusat Teknologi Maklumat itu bertujuan untuk meningkatkan visilibiti penyelidik UTHM sekali gus sebagai usaha menggalakkan lagi aktiviti penyelidikan dan inovasi di universiti ini.

Turut diadakan, penyerahan buku “Sasaran Kerja Tahunan Universiti 2022” terbitan Pejabat Strategik dan Pengurusan Risiko kepada Ketua-ketua Fokus.

Buku tersebut diterbitkan saban tahun bertujuan untuk dijadikan rujukan kepada barisan kepimpinan universiti dalam merangka aktiviti bagi mencapai sasaran tahunan.

 

Naib Canselor menyempurnakan upacara pelancaran UTHM Expert Management System (U-EMAS) UTHM.
Penyerahan buku “Sasaran Kerja Tahunan Universiti 2022” terbitan Pejabat Strategik dan Pengurusan Risiko kepada Ketua-ketua Fokus.