ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 23 kenderaan rasmi dan persendirian bernombor plat khas UTHM berkonvoi ke Iskandar Puteri bagi mempromosi universiti kepada masyarakat sempena sambutan 30 tahun penubuhan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Kumpulan konvoi yang diketuai Pengarah Pusat Wakaf dan Endowmen, Haizal Ahmad @ Mohamad melibatkan penyertaan 72 peserta terdiri daripada staf UTHM dan ahli keluarga masing-masing.

Mereka berkonvoi bagi mengikuti lawatan rasmi ke Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, Dewan Negeri Johor dan Stadium Sultan Ibrahim yang terletak di Iskandar Puteri.

Menurut Ketua Pustakawan, Zaharah Abd Samad selaku wakil rasmi Naib Canselor, program ini merupakan program kedua diadakan selepas berlangsungnya Majlis Doa Selamat sempena sambutan 30 tahun UTHM yang diadakan pada 14 Februari lalu di Masjid Haji Muhammad Yassin, Bandar Universiti Pagoh.

Tambah beliau, program konvoi itu bertujuan mempromosi nombor plat khas siri UTHM yang telah dibuka jualannya sejak tiga tahun lalu di samping sebagai usaha untuk mengeratkan ukhwah antara universiti dan kerajaan negeri.

“Pihak UTHM juga mengambil peluang tersebut untuk bertemu dengan penjawat awam yang sedang bekerja tetapi berkeinginan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui program pembelajaran sepanjang hayat yang ditawarkan.

“Satu sesi taklimat telah diadakan bagi memberi maklumat terkini kepada staf yang bekerja di pejabat–pejabat kerajaan negeri Johor yang berminat untuk melanjutkan pengajian di UTHM dengan menggunakan laluan kemasukan sijil APEL,” katanya.

Hadir sama menyambut delegasi, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Cik Norlizah Noh.

Zaharah yang mewakili Naib Canselor turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri Johor kerana memberi peluang dan ruang untuk mempromosikan UTHM sebagai universiti awam yang kedua di negeri Johor, yang mana Canselornya adalah DYAM Tunku Ismail Ibrahim Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

“Pihak kami sangat berbesar hati menerima kunjungan mana-mana agensi kerajaan ke UTHM dan akan menyambut baik jika ada yang ingin menjalinkan kerjasama menganjurkan program mahupun aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Dalam rangka lawatan itu juga, UTHM melalui Yayasan UTHM turut menyerahkan bantuan kepada wakil Pengurusan Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan dan Impian Syimah sebagai salah satu inisiatif khidmat masyarakat di bawah program UTHM Prihatin.

Turut diadakan, lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim yang menjadi kebanggaan rakyat Johor dengan pasukan bola sepaknya yang tersohor iaitu pasukan JDT.

Para peserta konvoi berpeluang meneroka dan melihat sendiri pengurusan dan fasiliti lengkap di stadium tersebut sekali gus merasai aura kehebatan pasukan bola sepak Johor.