Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad telah dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkuatkuasa mulai 1 Mac 2023 sehingga 28 Feb 2026. Pelantikan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin itu adalah untuk tempoh tiga tahun.

Pelantikan Prof. Rabiah, 49 adalah bagi mengisi jawatan yang sebelum ini disandang oleh Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar yang telah tamat tempoh lantikannya pada 14 Januari 2023 lalu.

Sebelum diamanahkan menjawat jawatan ini, Prof. Rabiah merupakan Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Melaka (UTEM).

Anak kelahiran kampung chinchin, Jasin, Melaka itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ijazah Sarjana Keselamatan Maklumat dari Royal Holloway, University of London dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ‘Health Informatics’ dari University of Sheffield, United Kingdom.

Sepanjang 23 tahun perkhidmatannya sebagai pensyarah dan penyelidik, Prof. Rabiah pernah menjawat beberapa jawatan penting lain antaranya Pengarah Strategik dan Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan di UTEM.

Berbekalkan semangat juang yang tinggi, komitmen Prof. Rabiah tidak terhenti di situ apabila beliau turut dilantik sebagai Board of Studies Program Bachelor Information System Kuliah ICT, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pemeriksa Kurikulum Program Keselamatan Rangkaian, Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Selain itu Prof. Rabiah turut diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Pengerusi Majlis Pengurusan Kualiti Universiti Awam pada tahun 2020 dan terkini beliau dilantik sebagai Setiausaha Kluster ICT, Majlis Profesor Negara.

Naib Canselor, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim mewakili seluruh warga UTHM mengucapkan tahniah atas pelantikan tersebut dan berharap Prof. Rabiah dapat memberikan sumbangan penuh idea, tenaga, dan kepakarannya demi membantu meningkatkan kecemerlangan universiti.

 

Prof. Rabiah ketika bertemu Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim (tengah) dan Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT, Prof. Madya Eur Ing. Ir. Ts. Dr. Shahiron Shahidan (kiri).