Oleh PM Ts. ChM Dr. Hatijah Basri

SEPANG – Setelah melalui siri audit oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2020/21 bagi kategori Institut Pengajian Tinggi pada 11 November 2022 lalu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Mohd. Anuar Embi ketika berlangsungnya Majlis Anugerah Cemerlang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kebangsaan bertempat di Movenpick Hotel and Convention Centre, Sepang.

Untuk rekod, majlis anugerah tersebut merupakan acara tahunan anjuran MNKKP yang bertujuan memberi pengiktirafan kebangsaan kepada tokoh, Ketua Pegawai Eksekutif, wartawan dan organisasi-organisasi dari pelbagai sektor industri yang mempunyai rekod pencapaian yang cemerlang dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja.

Sebanyak 32 kategori dipertandingkan bagi tahun 2020 dan 2021 iaitu 28 untuk ‘Organisasi’ dan empat untuk ‘Individu’ yang dinilai berasaskan sektor/industri/individu yang menunjukkan komitmen, prestasi serta sumbangan dalam memastikan KKP cemerlang di tempat kerja.

Untuk Organisasi, kategori yang dipertandingkan meliputi Kategori Sekolah, Kategori Kemudahan Gas, Kemudahan Pembekalan Elektrik, Kemudahan Air, Kewangan, Penyimpanan, Hartanah, Perkhidmatan Perniagaan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Pembinaan (Kendalian Bangunan), Pembinaan (Kendalian Kejuruteraan) serta Mentor dan Mentee.

Manakala bagi individu pula, kategorinya dibahagikan kepada wartawan, Ketua Pegawai Eksekutif (awam dan swasta) dan tokoh KKP.

Majlis berkonsepkan makan malam itu turut dihadiri wakil rasmi Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Dr Md. Saidin Wahab; Provost UTHM Kampus Cawagan Pagoh, Prof. Ts. Mohd. Kamarulzaki Mustafa; Pengarah Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE), Prof. Madya Dr. Balkis A. Talip; Ketua-ketua Unit dan staf Pejabat OSHE, UTHM.

Majlis tersebut turut menyaksikan Dato’ Dr. Kanagaraja Raman diumumkan sebagai Tokoh KKP bagi tahun 2020 dan 2021.

Pengarah Pejabat OSHE mengucapkan tahniah kepada semua yang bertungkus lumus memastikan KKP di UTHM berada pada tahap cemerlang.

“Saya berharap UTHM akan terus cemerlang dalam membudayakan dan melonjakkan agenda KKP sebagaimana yang diwartakan dalam OSHMP25,” katanya.