BATU PAHAT Seramai 211 graduan pascasiswazah (penyelidikan) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dirai dalam Majlis Pemakaian Hud yang berlangsung di Studio Pendidikan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional pada 2 Disember 2022 sempena Konvokesyen Ke-12.

Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan graduan pascasiswazah serta mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada penyelia untuk memakaikan hud kepada graduan sebagai tanda kejayaan menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah dan sarjana secara penyelidikan.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, Naib Canselor UTHM.

Beliau dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para graduan, penyelia utama dan penerima-penerima anugerah.

“Saya berharap para graduan akan berusaha mempelbagaikan lagi kemahiran  yang ada bagi mempersiapkan diri menghadapi persaingan dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks  ini,” katanya.

Beliau juga menyatakan pengharapannya kepada graduan agar terus melibatkan diri secara aktif sebagai Alumni UTHM sebagai tanda sokongan kepada universiti ini.

Turut hadir, Prof. Ts. Dr. Azme Khamis, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Sr. Ts. Dr. Haji Lokman Hakim Haji Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Dekan-Dekan Fakulti.

Turut berlangsung penyampaian 13 anugerah pascasiswazah iaitu Best Publication Award (PhD) – Science and Technology, Best Publication Award (PhD) – Social Science, Best Publication Award (Master) – Science and Technology, Best Publication Award (Master) – Social Science, Best Agent Award, Best Introducer Award (Staff Category), Best Introducer Award (Student Category), Highest Intake Postgraduate Programme Award (PhD), Highest Intake Postgraduate Programme Award (Master), Outstanding International Enrollment Award (PhD), Outstanding International Enrollment Award (Master), Outstanding “Program Serapan” Award dan Best Faculty Award for Research Graduate.