UTHM kekalkan kedudukan antara 200 universiti terbaik dalam penarafan UIGWUR

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya mengekalkan kedudukan antara 200 universiti terbaik peringkat antarabangsa dalam penararafan UI Greenmetric World University Ranking (UIGWUR).

UTHM berada di kedudukan ke-165 daripada 1050 universiti yang menyertai penarafan tersebut sekali gus menjadi kedudukan terbaik pernah dicapai universiti ini sepanjang menyertai UIGWUR sejak tahun 2017.

Bagi kedudukan di Malaysia pula, UTHM berjaya meletakkan kedudukannya di tangga ke-9 daripada 32 institut pengajian tinggi awam/swasta berbanding kedudukan ke-10 pada tahun 2021 sekali gus menjadi antara 10 universiti terbaik di negara ini.

Penarafan UIGWUR itu merangkumi penilaian operasi yang dilaksanakan oleh universiti berdasarkan elemen-elemen yang ditetapkan iaitu Tetapan dan Infrastruktur, Tenaga dan Perubahan Iklim, Sisa, Air, Pengangkutan serta Pendidikan dan Penyelidikan.

Menurut Pengarah Pejabat Kampus Lestari, Profesor Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir proses pengumpulan data dan penyediaan dokumen UIGMWUR 2022 telah bermula pada bulan Mei 2022 dan penghantaran dokumen kepada sekretariat telah dibuat pada 27 Oktober 2022 lalu.

Tambah beliau, pengumpulan data tersebut melibatkan Ahli Jawatankuasa Green Data yang terdiri daripada Pejabat Kampus Lestari (SCO), Pejabat Pembangunan dan Penyenggaraan (PPP), Penyelaras Data Hijau PTj dan Pusat Kecemerlangan/Penyelidikan UTHM.

Manakala bagi proses penyediaan dokumen dan laporan telah dilaksanakan oleh Jawatankuasa Penarafan UI GreenMetric World University Rangking UTHM yang terdiri daripada staf SCO, Jawatankuasa Sustainable Champion Team (SCT) dan Unit Teknikal (Perancangan & Pelaporan) Jawatankuasa Pengurusan dan Kecekapan Tenaga Universiti (JPKTU).

 “Kejayaan ini menunjukkan warga UTHM semakin komited dalam membudayakan amalan kelestarian di kampus.

“Semoga kejayaan ini dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga UTHM untuk meningkatkan lagi amalan kelestarian di dalam dan luar kampus.

Kejayaan ini juga secara tidak langsung mampu meningkatkan lagi imej UTHM dalam kalangan IPT tempatan dan antarabangsa,” katanya.

 

 

 

*Jawatankuasa SCT diselaraskan oleh Ketua Jabatan (Pengurusan dan Kejuruteraan Lestari), SCO, Profesor Madya Dr. Nur Shaylinda Mohd Zin yang terdiri daripada Strategy in Operation (SIO), Sisa dan Kitar Semula diketuai oleh Ts. Dr. Roslinda  Ali, SIO Air diketuai oleh Prof. Madya Dr. Siti Nazahiyah Rahmat, SIO Perjalanan dan Pengangkutan diketuai oleh Dr. Mohammad Nasir Mohamad Taher, SIO Pendidikan dan Penyelidikan diketuai oleh Dr. Nur Adila Ab. Aziz, SIO Pembangunan, Iklim dan Daya Tahan diketuai oleh Profesor Madya Dr. Rozlin Zainal dan SIO Bangunan Hijau diketuai oleh Dr. Mohd Azuan Zakaria. Manakala Unit Teknikal (Perancangan & Pelaporan), JPKTU telah diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Noor Abdullah. Kesemua ketua telah dibantu oleh ahli-ahlinya dalam menyelaras data dan penyediaan laporan lengkap.

Categories
Anugerah, Pencapaian dan Pengiktirafan