Pelajar UTHM berjaya raih tempat di Tanggam Mobili Design Award 2022

KUALA LUMPUR – Sekumpulan pelajar Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat rekod tersendiri apabila berjaya meraih tempat ketika menyertai Pertandingan Tanggam Mobili Design Award 2022 yang berlangsung pada 3 hingga 21 November lalu.

FPTP telah menghantar tujuh penyertaan pelajar program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot (BPP) ke pertandingan tersebut dan tiga daripadanya berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga bagi kategori Pelajar.

Pertandingan reka bentuk perabot peringkat kebangsaan anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang bertemakan “Celebrating the Best Timber Product Design in Malaysia” itu melibatkan dua kategori pertandingan iaitu “Profesional” dan “Pelajar.”

Pertandingan pada tahun ini menyaksikan sebanyak 25 penyertaan bagi kategori Profesional dan 105 penyertaan bagi kategori Pelajar.

Pelajar FPTP yang terdiri daripada Mohamad Raimi Iskandar Malik, Muhammad Nur Ridzuan Rafizal dan Muhammad Faeizan Hairul Effendy meraih tempat pertama melalui reka bentuk perabot yang dinamakan DREI.

DREI

DREI merupakan produk yang mempunyai tiga fungsi iaitu sebagai penyangkut baju, rak kasut dan pemegang payung serta mempunyai kemasan lakuer untuk menyerlahkan butiran kayu dan menunjukkan warna semula jadi.

Reka bentuk tersebut menggunakan tali ‘manila’ untuk membezakan gaya lama dan memberikannya kekuatan untuk menahan berat.

Manakala tempat kedua diraih oleh Wong Sie Yun, Kok Hooi Zhi dan Tan Jia Wei dengan reka bentuk rak ‘Meow’ yang direka untuk pencinta kucing, inspirasi idea daripada roda Ferris dan bentuk heksagon.

MEOW

Tempat ketiga pula diraih oleh Muhammad Ariff Muhammad Rizan, Muhammad Izzat Zamri dan Muhammad Amin Mohmad Sabri dengan produk ‘Rokkingu’ iaitu sebuah bangku ayun yang dicipta untuk kegunaan umum sebagai tempat berehat.

 

RAKKINGU

Bangku ‘Rokkingu’ mempunyai reka bentuk yang unik inovasi daripada kerusi malas, berketinggian 750 mm serta diameter 600 mm dan bahan utama yang digunakan ialah logam, kayu padu serta tali getah.

Logam digunakan pada diameter permukaan atas sebagai bingkai, ditambah tali getah yang melintasi tempat duduk untuk menjadikannya lebih selesa dan didatangkan dengan warna kayu asli untuk kelihatan lebih klasik.

Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Kanan Kementerian Industri Utama dan Komoditi, Wan Ahmad Asmady Wan Md Din ketika berlangsungnya Majlis Penutup Kuala Lumpur Design Festival (KLDF) 2022 pada 18 Disember lalu bertempat di Muzium Telekom, Kuala Lumpur.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kanan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia, Roslina Idris; Pengarah Pembangunan Industri, Dr. Zamri Amin dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, His Excelency Charles Hay.

Penganjuran KLDF 2022 yang bertemakan “Meraikan Kecemerlangan Reka Bentuk dan Mewujudkan Kesedaran Awam” itu bertujuan untuk mewujudkan platform industri reka bentuk seperti seni bina, perabot, reka bentuk dalaman, reka bentuk industri dan rekaan komunikasi visual bagi mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan reka bentuk yang baik.

Lebih 30 program telah dijalankan sepanjang 18 hari program berlangsung antaranya penyertaan pameran persatuan PAMNXT di High Street Studio, yang terletak di Jalan Tun HS Lee yang menampilkan idea tentang seni bina berdaya tahan, manakala PEREKA dan wREGA pula mempamerkan reka bentuk industri dan komunikasi visual bertempat di GM Bukit Bintang (GMBB).

Pertandingan itu menjadi satu platform yang penting untuk menilai kreativiti dan tahap keupayaan pelajar serta sebagai peuang untuk menambah baik portfolio ręką bentuk yang mereka hasilkan.

 

Categories
Anugerah, Pencapaian dan PengiktirafanPengurusan Teknologi Perniagaan