Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim,Ts. Suhairi Ismail dan Ts. Dr. Md Norrizam Mohmad Ja’at @ Mohd Noh

PAGOH – Bersempena Hari Penderma Darah Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengiktiraf Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sebagai penganjur kempen derma darah paling komited/responsif bagi negeri Johor.

KKKP telah dicalonkan untuk kategori tersebut untuk negeri Johor ke peringkat kebangsaan dan telah dipersetujui oleh semua Pusat Kutipan Darah di negeri Johor antaranya adalah Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF Muar), Hospital Sultanah Aminah (Johor Bahru), Hospital Sultan Ismail (Johor Bahru), Hospital Sultanah Nora Ismail (Batu Pahat), Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (Kluang), dan Hospital Segamat. Pencalonan ini juga disokong oleh Pusat Darah Negara (Kuala Lumpur).

Pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Dr. Rosaina Senan, Pakar Perubatan Transfusi merangkap Ketua Unit Perubatan Transfusi, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) kepada Dr. Mohd Faisal Hushim, Timbalan Pengetua 1, KKKP UTHM.

Menurut Dr. Mohd Faisal Hushim yang juga penasihat program kempen derma darah di kolej kediaman tersebut, program itu terbuka kepada semua pelajar dan penghuni di sekitar Hab Pendidikan Tinggi Pagoh.

“Berpegang kepada prinsip UTHM Prihatin, dan dengan kerjasama erat bersama Unit Perubatan Transfusi HPSF, pihak kolej kediaman akan sentiasa komited di dalam mempromosikan dan menggalakkan masyarakat sekitar untuk menderma darah.

“Dengan pengiktirafan daripada pihak KKM ini telah meningkatkan lagi semangat pihak kami untuk terus menjadi tunjang utama sebagai penganjur program derma darah dalam memastikan stok bekalan darah negara sentiasa di paras optimum,” katanya.

Untuk rekod, bagi tahun 2022 sahaja, pihak KKKP UTHM telah melaksanakan 10 kali program derma darah dan berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak hospital setiap kali ianya dilaksanakan.

Pihak kolej juga turut diberi pengiktirafan oleh pihak HPSF selaku penganjur kempen derma darah dengan kutipan tertinggi pada Majlis Apresiasi Kepada Penderma Darah dan Penganjur Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSF) pada Ogos 2022 lalu.

 

‘Derma Darah, Kukuhkan Perpaduan’
‘Satu Beg Darah Mampu Selamatkan Tiga Nyawa’
‘Darah Tanpa Sempadan’

Berita ini juga diterbitkan di :

1. mediadigitaljohor.gov, 8 November 2022: https://mediadigitaljohor.gov.my/kkm-iktiraf-kkkp-uthm-penganjur-kempen-derma-darah-paling-komited/