Sumbangan industri pembinaan terhadap pembangunan ekonomi negara sering menjadi bahan perdebatan secara meluas sama ada di Malaysia mahupun di luar negara. Industri pembinaan juga merupakan suatu perusahaan kompleks yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam melaksanakan sesebuah projek pembinaan. Ia turut melibatkan beberapa fasa yang berbeza tahap kesukarannya. Oleh yang demikian, penglibatan para pemain industri dalam projek memerlukan pengetahuan teknikal agar dapat ditafsir dan dihantar secara berkesan dalam usaha mencapai matlamat projek secara kolaboratif terlaksana.

Untuk memastikan pertumbuhan yang stabil dan mampan, sesebuah negara perlu memberikan perhatian secara komprehensif terhadap peningkatan kualiti bagi keseluruhan proses pembinaan. Antara salah satu faktor penyumbang kejayaan projek ialah komunikasi berkesan. Komunikasi yang berkesan semasa kitaran hayat projek adalah amat signifikan untuk memastikan kejayaan projek pembangunan infrastruktur di negara ini.

Walau bagaimanapun, masih terdapat kritikan-kritikan sinis dalam pelaksanaan projek pembinaan yang kebanyakan isu dilihat telah menyumbang kepada kerjasama yang lemah dan komunikasi yang tidak berkesan dalam kalangan peserta projek (project participant). Dengan mengambil kira keadaan ini, pihak berkepentingan amat digalakkan untuk mengenal pasti instrumen yang terbaik agar mampu mengatasi masalah komunikasi secara kolaboratif yang kurang efektif dalam projek pembinaan.

Di Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membentangkan cadangan untuk memperkasakan pembangunan digital melalui aplikasi Building Information Modelling (BIM) sejak lima tahun lalu. Terdapat beberapa contoh projek yang telah berjaya dibina dengan menggunakan aplikasi BIM, antaranya Institut Kanser Negara Malaysia, Pusat Penjagaan Kesihatan Pahang Jenis 5, dan Kompleks Pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Shah Alam. Kesemua ini merupakan antara projek terawal di Malaysia yang menggunakan aplikasi BIM.  Dalam projek tersebut, BIM digunakan semasa fasa reka bentuk seperti simulasi lokasi, visualisasi, penilaian reka bentuk, penilaian konflik, perancangan dan simulasi 4D serta dokumentasi pemodelan.

Walaupun kebanyakan organisasi pembinaan di Malaysia sedang giat berusaha ke arah peningkatan penggunaan aplikasi BIM dalam projek pembinaan mereka, namun disebabkan kurangnya bimbingan yang tepat, sokongan kerajaan yang agak terhad, dan minoriti kakitangan yang terlatih telah menyebabkan kadar penggunaan BIM masih lagi di tahap rendah.

Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada tahun 2019,  tahap penggunaan BIM semasa di Malaysia telah mencecah sebanyak 49% dan masih dianggap rendah jika dibandingkan dengan United Kingdom yang telah mencapai sebanyak 69%. Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia agak terkebelakang jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura yang berjaya melepasi jurang dalam tempoh lima tahun selepas pengenalan BIM dalam industri pembinaan mereka. 

Tambahan lagi, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga mengambil langkah yang serius dengan mengeluarkan arahan kewajipan menggunakan BIM dalam projek-projek pembinaan yang dijalankan secara berperingkat. Malah, Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pelan Strategik 2021-2025 juga turut menyasarkan sebanyak 80% penggunaan BIM menjelang tahun 2025 akan datang. Selari dengan itu, aplikasi BIM di negara ini terus disasarkan secara meluas bukan sahaja di fasa perancangan dan reka bentuk, tetapi juga dalam fasa pelaksanaan, fasa yang mana pembinaan sedang berjalan, fasa pengurusan kontrak dan juga fasa penyelenggaraan.

Ini jelas menunjukkan bahawa usaha dan komitmen kerajaan dalam menggalakkan pemain industri melaksanakan BIM dalam projek pembinaan sangat tinggi dan konsisten. . Bukan itu sahaja, malah pembangunan komunikasi secara kolaboratif yang mana merupakan salah satu faktor utama dalam kejayaan projek pembinaan, perlu diamalkan secara efektif oleh semua pihak terlibat.  Ia juga perlu diberi perhatian secara serius oleh pemain industri masa kini yang dilihat berdepan dengan situasi yang dipanggil sebagai VUCA (Volatility, Uncertainty, Complex, Ambiguity).

Sebagai contoh, isu berkaitan kenaikan harga bahan binaan yang tidak menentu, kadar upah buruh yang semakin tinggi, keadaan peluang luar jangka dan ramalan persaingan yang tidak jelas.  Keadaan menjadi semakin mencabar apabila kebanyakan pelaksanaan projek pembinaan masih lagi selesa mengamalkan kaedah tradisional sama ada dalam proses perolehan mahupun proses pembinaan projek. Ekoran itu, ia sering menimbulkan masalah seperti salah tanggap, timbul rasa kurang percaya dan minat untuk berkongsi maklumat dalam kalangan pemegang taruh, pemain industri serta klien.  

Keberkesanan pembangunan komunikasi secara kolaboratif sangat bergantung kepada beberapa faktor. Antaranya, tahap maklumat identiti pihak terlibat, galakkan budaya kerja secara bersepakat, proses maklum balas, dan penyelarasan dalam kalangan peserta projek yang sistematik. Selain itu, makluman berkaitan pembangunan pada setiap fasa secara progresif dan penglibatan kepelbagaian profesional yang berbeza pengalaman dan latar belakang dalam projek juga memainkan peranan penting untuk meningkatkan komunikasi secara kolaboratif dengan lebih komprehensif.  

Oleh yang demikian, demi memantapkan lagi aplikasi BIM dalam projek pembinaan, penyelarasan maklumat sangat penting bagi mengelakkan masalah ketidakcekapan dalam proses pembinaan terus berlaku. Penyelarasan yang tidak mencukupi dan isu kehilangan kerahsiaan dalam kalangan peserta projek disebabkan kerjasama dan komunikasi yang lemah dianggap sebagai penyumbang utama kepada kegagalan usaha pembangunan komunikasi secara kolaboratif dan lestari. 

Apa yang penting, semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, perlu bersama mengorak langkah dalam mewujudkan dan memupuk semangat komunikasi secara kolaboratif ini. Yang lemah perlu dibantu, yang tidak jelas perlu ditambah baik. 

Usaha kerajaan untuk mengelakkan pertikaian melalui aplikasi BIM ini wajar diberikan pujian. Ia bukan sahaja dapat menghapuskan perdebatan dalam projek, malah ia penting dalam meningkatkan komunikasi kolaboratif dalam kalangan peserta projek supaya pengetahuan dan pemahaman dapat disepadukan antara pihak yang bekerjasama untuk berdepan dengan ekonomi dunia yang semakin sukar untuk diramalkan. 

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. bernama.com, 30 November 2022 : https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2142245

 

 

Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Ketua Koordinator Jaringan Global,

Unit Building Information Modelling (BIM),

Penyelidik Utama Pusat Penyelidikan Pengurusan Infrastruktur Lestari dan Alam Sekitar (CSIEM)

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan),

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Yvonne Valerie Leonard Doudilim

Penolong Juruukur Bahan,

Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah,

Kota Kinabalu, Sabah