Oleh Dr. Mohd Zulfadli Rozali

PUTRAJAYA – Pendayung Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berada dalam kelas tersendiri apabila memonopoli pingat emas dalam Kejohanan Regatta Rowing Putrajaya yang berlangsung pada 28 hingga 30 Oktober 2022 lalu.

UTHM memperoleh empat pingat emas dan dua perak bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam acara mendayung peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Mendayung Malaysia (PERDAMA).

Kejohanan dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya, Persatuan Rowing Putrajaya dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu mempertandingkan 28 acara melibatkan empat kategori iaitu Master, Terbuka, IPT dan Remaja.

Jurulatih Mendayung UTHM, Aizat Md Zaini berkata atlet UTHM telah menjalankan latihan dan persiapan yang rapi sepanjang cuti semester untuk Regatta Rowing Kebangsaan tahun ini.

“Pihak kami amat bersyukur apabila atlet UTHM telah dipilih oleh Persatuan Rowing Johor (JoRA) untuk menyertai acara Terbuka bagi mewakili negeri Johor.

“Selain pendayung UTHM, beberapa alumni UTHM yang masih aktif dalam sukan mendayung seperti Dr. Mohd Zulfadli Rozali turut mewakili Johor dalam acara terbuka sekali gus membantu pasukan Johor memperoleh tiga pingat emas,” katanya.

Pencapaian yang memberangsangkan itu sekali gus membantu kepada penjenamaan UTHM sebagai kuasa besar dalam sukan air di Malaysia, selain dapat membantu universiti melahirkan pelajar yang holistik.

 

Berita ini juga diterbitkan di :

1. malaysiagazette.com, 8 November 2022: https://malaysiagazette.com/2022/11/08/uthm-monopoli-emas-di-regatta-rowing-kebangsaan-2022/

2. malay.news, 8 November 2022: https://www.malay.news/uthm-monopoli-emas-di-regatta-rowing-kebangsaan-2022/

UTHM Cemerlang di Regatta Rowing Kebangsaan 2022

3. mediadigitaljohor, 7 November 2022: https://mediadigitaljohor.gov.my/uthm-cemerlang-di-regatta-rowing-kebangsaan-2022/