BATU PAHAT – Seramai 31 peserta yang telah mengikuti Kursus Jurulatih Kerjaya dirai dalam satu Majlis Graduasi Career Coach 2021 & 2022 yang diadakan pada 8 November 2022 lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai dan mengiktiraf kesemua peserta Career Coach yang telah berjaya memberi sumbangan dan komitmen mereka sepanjang tempoh lantikan.

Mereka sebelum ini telah menerima latihan dari HC Consultants Group sebelum layak menerima sijil.

Program anjuran Jabatan Kerjaya Pelajar, Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni (PKKA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu telah disempurnakan oleh Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Prof. Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa selaku wakil rasmi Naib Canselor.

Hadir sama ke majlis tersebut, Pengarah Pusat Kemajuan Kerjaya dan Alumni, Prof. Madya Ir. Dr. Muhammad Saufi Kamarudin,  Group CEO, HC Consultants Group, Sunil Hasmukharay dan Dekan-dekan fakulti.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil kepada Jurulatih Kerjaya bagi tahun 2021 dan 2022 sebagai satu simbolik graduasi.

Career Coach merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh PKKA bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan memberikan khidmat nasihat kerjaya secara percuma sepanjang tahun kepada semua pelajar dan alumni UTHM.

 

Group CEO, HC Consultants Group, Sunil Hasmukharay berucap semasa berlangsungnya Majlis Graduasi Career Coach 2021 & 2022.