Oleh Siti Afifah Che Ismail

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada tahun 2022 lalu telah mendapat pengiktirafan Premier Digital Technical Institutions (PDTI) daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Pengiktirafan ini membuktikan kesungguhan UTHM dalam menyediakan graduan yang sedia dengan kemahiran serta persijilan profesional yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan semasa.

Bagi memastikan pencapaian aspirasi TVET Digital menjelang tahun 2025 dan menyokong inisiatif pendigitalan institusi yang disasarkan dalam Pelan Strategik UTHM 2021-2025, penggunaan eBook sebagai bahan rujukan utama semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kuliah telah dilaksanakan bermula Semester 1 Sesi 2022/2023.

Bagi tujuan tersebut, beberapa siri program Training of Trainers kepada wakil fakulti yang terdiri daripada staf akademik telah diadakan pada September 2022 lalu melalui kerjasama antara Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) dengan penerbit.

Staf-staf akademik yang terlibat dalam latihan ini bertanggungjawab menyebar luas dan melatih staf akademik yang lain dalam penggunaan eBook ini.

Pada masa yang sama, ahli fakulti diwajibkan memasukkan sekurang-kurangnya satu judul eBook yang berkaitan kursus yang diajar di dalam dokumen perancangan kuliah masing-masing.

Sebagai permulaan, kira-kira 10,000 judul eBook dalam bidang kejuruteraan, sains bahan dan kejuruteraan kimia daripada penerbit-penerbit terkemuka telah diaktifkan melalui laman sesawang PTTA untuk diakses dan dirujuk oleh pelajar dan pensyarah UTHM.

Terdapat juga judul-judul dari pangkalan data eBook lain yang turut dilanggan oleh PTTA di dalam pelbagai bidang bagi memenuhi keperluan tersebut.

Berdasarkan tinjauan awal yang dilakukan oleh PTTA bagi mengukur kesediaan fakulti melaksanakan inisiatif ini, Fakulti Teknologi Kejuruteraan didapati telah mula menggunakan eBook tersebut dalam kuliah.

Sebanyak 78 peratus daripada pensyarah dan 44 peratus pelajar yang terlibat didapati menggunakan platform ini secara kerap.

Maklum balas awal yang diperoleh semasa tempoh percubaan oleh penerbit juga menunjukkan bahawa pembelajaran secara kendiri (self-learning) dalam format eBook ini memudahkan mereka untuk membuat rujukan dan pembacaan.

Dapatan selepas sesi percubaan menunjukkan peningkatan penggunaan sehingga 95 peratus dalam kalangan pensyarah dan pelajar.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Azme Khamis berpandangan pembelajaran kendiri yang berpandukan tunjuk ajar daripada pensyarah masing-masing membolehkan mereka menggilap kemahiran-kemahiran insaniah dan bersedia sebagai ‘future-ready digital learners’.

Norma baharu dalam transformasi digital khususnya semasa penularan COVID-19 juga memberikan isyarat yang jelas terhadap keperluan semua pihak bagi melakukan adaptasi dalam aplikasi teknologi pendidikan digital dan capaian bahan rujukan secara maya.

Menariknya, rujukan dalam format ini menawarkan ciri-ciri mesra pengguna dan interaktif serta capaian lebih meluas dan akses tidak terbatas kepada bilangan pengguna, masa atau lokasi.

Manakala Ketua Pustakawan PTTA, Zaharah Samad pula berkata PTTA komited menyediakan satu portal carian maklumat yang berkualiti, boleh dipercayai dan merangkumi pelbagai bidang.

“Pustakawan berfungsi sebagai ‘education partner’ kepada fakulti untuk membantu pembangunan pemikiran kritikal dan kemahiran literasi maklumat pelajar.

“Modul literasi dan capaian maklumat dapat membantu pengguna meningkatkan kemahiran teknik pencarian maklumat dalam eBook,” katanya.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula dalam Pelan Strategik Pendigitalan 2021-2025 ada menyebut pernyataan misinya secara jelas, iaitu Memperkasa Ekosistem Penyampaian Perkhidmatan Pendidikan Tinggi Melalui Pendigitalan.

Ekosistem pendidikan hari ini yang mengalami perubahan yang sangat besar menuntut institusi pendidikan tinggi melaksanakan siri transformasi ke arah pembelajaran berorientasikan konsep “anyone, anytime, anywhere, anyhow” yang selari dengan gaya hidup generasi muda masa kini.

Proses pengajaran dan pembelajaran dalam kuliah yang lebih fleksibel serta persekitaran pembelajaran yang lebih mesra perlu diwujudkan supaya sentiasa relevan dengan jangkaan generasi baharu ini.

Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi bin Abdul Rahim memberi penekanan terhadap wawasan UTHM ke arah Global Technopreneur University 2030 melalui strategi pendigitalan bagi memastikan graduan TVET mempunyai ciri-ciri pemikiran inovatif, kecerdasan digital dan kepakaran teknikal yang merupakan elemen utama seorang teknousahawan.

Beliau turut membangkitkan persoalan berkaitan konsep kelas masa hadapan dan pengalaman pembelajaran yang boleh ditambah baik.

Pengukuhan aspek TVET digital ini perlu disokong oleh pembangunan prasarana digital yang lengkap di universiti, merangkumi infrastruktur dan infostruktur.

UTHM pada masa ini sedang giat membangunkan infostruktur digital dalam format Massive Open Online Course (MOOCS) dan Open and Distance Learning (ODL) melalui inisiatif Virtual University.

PTTA turut mengambil langkah proaktif membangunkan pangkalan data dalaman (in-house database) sebagai medium untuk memuat naik kandungan digital yang sesuai dengan keperluan semasa fakulti.

Capaian kandungan adalah terbuka kepada semua pelajar dan staf UTHM dengan kawalan akses yang selamat dan sesuai melalui pautan seperti digitalcollection.uthm.edu.my, archive.uthm.edu.my, ereport.uthm.edu.my dan eprints.uthm.edu.my.

Platform capaian eBook yang mesra pengguna dan boleh diakses menerusi talian tanpa had masa atau lokasi dilihat sangat membantu dalam meneruskan pengajaran dan pembelajaran. Sumber maklumat yang mudah diakses boleh meningkatkan pengalaman pembelajaran yang kondusif dalam kalangan pelajar serta jaringan kolaborasi antara penyelidik, selain menggalakkan perkongsian sumber dalam kalangan institusi pendidikan tinggi negara.

Kelangsungan pendidikan TVET negara menjadi pemangkin kepada pasaran tenaga kerja berasaskan teknikal.

PTTA akan terus menyokong agenda pendigitalan universiti bagi memastikan hasrat UTHM menjayakan TVET Digital yang lebih holistik dapat dilaksanakan sejajar dengan perancangan pelan strategik.

 

 

Pasukan PTTA yang menguruskan Projek eBook Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di UTHM

  1. Puan Zaharah Abd Samad
  2. Puan Siti Afifah Che Ismail
  3. Encik Hisyam Abdul Shukor
  4. Puan Nurul Elmy Mohd Yusoff
  5. Puan Norfauzan Md. Sarwin