Oleh Nazwa Hidayah Mohamad

BATU PAHAT – Sebagai usaha menjadi sebuah universiti teknikal bertaraf global khususnya dalam teknologi lestari dan pengangkutan, enam staf Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik untuk menyertai program sangkutan CEO@Faculty Programme (CFP) mengikut bidang keperluan masing-masing.

Program CFP merupakan salah satu inisiatif di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mula dilkasanakan pada tahun 2022.

Program tersebut diadakan bagi meningkatkan penyertaan sektor industri dan awam dalam sistem pendidikan tinggi negara melalui perkongsian pengalaman, ilmu pengetahuan dan kepakaran yang boleh dimanfaat secara bersama oleh pihak universiti dan industri.

Program CFP turut melibatkan tokoh-tokoh terkemuka industri/korporat dari pelbagai syarikat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat multinasional (MNC) dan perkhidmatan awam.

Mereka terdiri daripada Datuk Isham Ishak, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan; Datuk Mohd Zarif Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation (MRTC) dan Dato’ Sri Haji Darwis Abdul Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL).  

Melalui program CFP itu, Ts. Dr. Hairulazwan, Pensyarah Kanan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan  (FTK) telah ditempatkan di Kementeraian Pengangkutan Malaysia (MOT) selama enam bulan.

Program dengan usaha sama KPT itu diadakan bagi memberi peluang kepada CEO tempatan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama-sama dengan pendidik.

Hasil penganjuran CFP itu, pihak MOT telah melantik  tiga pakar dari universiti awam dan swasta  sebagai perunding pakar bidang khusus bagi Program Kerjasama Strategik Dengan Republik Korea.

Tiga pakar tersebut terdiri daripada Ts. Dr. Hairulazwan, Ts. Muslizam Musa Cmil dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tujuannya adalah untuk meningkatkan keselamatan kereta api melalui penambahbaikan sistem pengurusan keselamatan kereta api Malaysia dan sistem standard teknikal antara kerajaan Malaysia dan Republik Korea.

Untuk rekod, ketiga-tiga pakar tersebut telah ke Korea pada 11 hingga 18 jun 2023 lalu untuk menyertai program Bengkel Pengamal Dasar Malaysia yang dianjurkan oleh Korea Railroad Research Institute (KRRI) Consortium, Korea National Rail dan Soosung Engineering.

UTHM komited dalam membantu mengiktiraf pakar dari ICoE-Rel di peringkat kementerian dan antarabangsa selaras dengan objektif UTHM memberi tumpuan kepada teknologi dan pengangkutan yang mampan terutamanya dalam bidang rel.