BATU PAHAT, 4 Mac 2023 – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mentauliahkan seramai 75 pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi sebagai ‘Juruteknik Bertauliah Sektor Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara.’

Pentauliahan tersebut dibuat menerusi kerjasama dua pihak iaitu Kumpulan Fokus Heating, Ventilation, and Air Conditioning (HVAC) dan pihak industri Dr. Pakar Aircond Sdn. Bhd.

FPTV sebelum ini telah ditauliahkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebagai Pusat Latihan Bertauliah (ATC) bagi Program Pensijilan Juruteknik Bertauliah (CSTP) Sektor Penyejukbekuan dan Penyamanan Udara (RACs) dengan kod pusat ATC062, yang bertujuan memberi sijil CSTP kepada pelajar UTHM.

Pensijilan melalui kursus Pengendalian Bahan Pendingin yang mendapat Pentauliahan Persijilan JAS itu merujuk kepada Akta Kualiti Alam 1974 Peraturan 5(1).

Program pensijilan tersebut diadakan bertujuan untuk meningkatkan kadar peratusan kebolehpasaran graduan (GE) tahun 2022 melalui persijilan kompetensi kepada graduan atau pelajar tahun akhir.

Ia juga bagi memberi pendidikan dan pengetahuan kepada peserta yang terlibat tentang etika servis dan amalan yang baik dalam menjaga keselamatan diri, peralatan dan alam sekeliling semasa menjalankan kerja-kerja yang melibatkan penggunaan refrigerant.

Program itu juga bagi menyediakan sijil kompetensi kepada para pelajar sebagai salah satu nilai tambah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan UTHM.

Untuk rekod, syarikat Dr. Pakar Aircond yang dilantik sebagai penyedia latihan merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan dan perundingan dalam teknologi sistem penyaman udara, khususnya dalam sektor awam dan swasta seluruh Malaysia.

Syarikat tersebut juga turut menjalankan program pendidikan dan latihan yang berkaitan dengan teknologi semasa serta teknologi maju untuk pelajar vokasional dan pensyarah, pekerja industri dan latihan yang berkaitan dengan semua mata pelajaran komersial atau digunakan untuk pengetahuan atau kemahiran.

Menurut Ketua Jabatan Jabatan Kemahiran dan Profesional, FPTV, Ts. Dr Nizamuddin Razali program pensijilan itu memberi impak yang tinggi kerana dijalankan secara bersemuka melibatkan kelas secara teori dan praktikal.

“Pelaksanaan program seumpama ini dapat membantu kebolehpasaran graduan (GE) dalam memenuhi permintaan semasa industri, sekali gus dapat meningkatkan jumlah GE universiti bagi tahun 2022,” katanya.