PAGOH – Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama rakan industri iaitu Bina Initiatives Sdn. Bhd. telah melaksanakan program KPT-PACE, Pensijilan Building Information Modelling (BIM) Proficiency With Autodesk Revit Structure Essentials bertempat di UTHM Kampus Pagoh pada 6 hingga 15 Oktober 2022.

Antara objektif utama program ini ialah menjadi medium kepada para pelajar untuk mendapatkan nilai tambah dengan memiliki sijil profesional dalam BIM Proficency yang boleh digunakan setelah tamat pengajian kelak.

Program yang mana kos yurannya berjumlah RM3000 ditanggung sepenuhnya oleh KPT itu diisi dengan satu sesi webinar secara maya bertajuk “Introduction to the BIM Process in AEC Industry” yang disampaikan oleh Ts. Muhammad Hafiz Zaini, Pengurus BIM dari Bina Initiatives Sdn. Bhd.

Kemudian diikuti dengan penganjuran kursus dan latihan secara bersemuka melibatkan 120 pelajar tahun akhir Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Binaan dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan.

Para peserta dipecahkan mengikut dua kumpulan berasingan mengikut fasa satu dan dua sebelum mengikuti program latihan intensif selama empat hari di bawah bimbingan jurulatih bertauliah (Autodesk Certified Trainers) daripada staf Bina Initiatives iaitu Nadrah Ibrahim dan Nasrul Asyraf Badrul Hisham.

Di samping itu, staf akademik FTK juga turut bersama menjadi fasilitator bagi membantu melancarkan sijil pensijilan.

Mereka terdiri daripada Ir. Ts. Mohamad Hairi Osman selaku Ketua Fasilitator, Prof. Madya Dr. Andri Kusbiantoro,  Ir. Ts. Dr. Mohd Kamaruzaman Musa, Ts. Dr. Tuan Noor Hasanah Tuan Ismail, Ts. Nur Faezah Yahya dan Ts. Zarizi Awang.

Selain itu, mereka juga dibantu oleh 20 staf daripada FTK, Pejabat Pengurusan Makmal Kampus Cawangan Pagoh dan Kolej Kediaman Pagoh.

Manakala pensijilan fasa tiga pula dijangka akan berlangsung pada 16 hingga 20 November 2022 melibatkan 50 pelajar.

Menurut pengarah program, Ts. Dr. Peniel Ang Soon Ern, para peserta komited dan memberi kerjasama yang baik sepanjang kursus berlangsung serta turut menjalani peperiksaan teori dan perisian dengan cemerlang.