UTHM imarahkan Ramadan dengan aktiviti kebajikan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan pelbagai aktiviti kebajikan bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan bagi umat Islam ini. Prihatin dengan kebajikan pelajarnya, universiti ini...
Penyerahan sumbangan aidilfitri di Kemboja

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan pelbagai aktiviti kebajikan bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang penuh keberkatan bagi umat Islam ini.

Prihatin dengan kebajikan pelajarnya, universiti ini mengadakan majlis berbuka puasa percuma atau dikenali sebagai “Majlis Iftar Jamaie Ramadan” anjuran Masjid Sultan Ibrahim dengan kerjasama Rakan Masjid UTHM serta kru Ramadan. Majlis berbuka puasa hasil tajaan dan sumbangan orang ramai ini diadakan pada setiap hari Ahad hingga Khamis di sepanjang bulan ramadan ini, melibatkan kehadiran kira-kira 1000 pengunjung.

Selain majlis berbuka, UTHM juga mengadakan program bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga universiti. Aktiviti menyedia dan mengagihkan kira-kira 1000 bungkus bubur lambuk ini diadakan pada setiap hari Rabu sepanjang Ramadan ini.

Di samping itu, UTHM melalui inisiatif Pusat Islam juga turut menyalurkan bantuan Aidilfitri ke Kemboja dengan mengagihkan makanan dan barangan keperluan kepada masyarakat Islam di sana sebagai persediaan menyambut hari lebaran yang bakal tiba.

Kelab dan persatuan di bawah naungan UTHM juga tidak melepaskan peluang untuk turut sama melaksanakan aktiviti kebajikan yang melibatkan warga universiti dan komuniti setempat.

Antaranya Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PENTAS) sedang giat menjalankan Program Infak Ramadan PENTAS 2019 dengan menyantuni golongan asnaf, ibu tunggal, pengidap penyakit kronik, golongan kurang upaya (OKU) di beberapa buah kampung sekitar Batu Pahat. Sukarelawan PENTAS yang mewakili para penyumbang mengagihkan bantuan berupa makanan sebagai persiapan menyambut aidilfitri yang bakal tiba. Turut menerima sumbangan, kumpulan pekerja pembersihan berstatus warga emas yang bekerja di sekitar kampus.

Tidak ketinggalan juga dengan kelab pelajar iaitu Kelab Warisan yang turut menyantuni golongan miskin dan anak-anak yatim dengan menyalurkan bantuan raya bagi menceriakan lagi sambutan hari lebaran akan datang. Sukarelawan kelab ini komited mengagihkan barangan makanan kepada golongan yang memerlukan dan turut membawa keluar sekumpulan anak-anak yatim untuk membeli pakaian dan kasut raya di pasaraya terpilih.

Sementara itu bagi mengambil keberkatan di bulan Ramadan ini, Pusat Endowmen dan Wakaf, UTHM di bawah program Agihan Manfaat Wakaf, Dana Wakaf Tunai Pendidikan pula baru-baru ini telah mengagihkan sumbangan kepada 40 pelajar fakir. Sumbangan tersebut dibuat dalam satu majlis sempena sambutan Nuzul dan Khatam Al-Quran serta Iftar perdana yang berlangsung pada 22 Mei lalu bertempat di Masjid Sultan Ibrahim. Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian tajaan yuran pengajian untuk dua pelajar miskin bagi mengurangkan beban kewangan mereka dalam usaha meneruskan pengajian.

Inisiatif  yang dilakukan oleh UTHM ini diharap dapat merapatkan lagi hubungan universiti dengan komuniti selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menginginkan peranan universiti diperluaskan dengan penerapan konsep “Universiti untuk Masyarakat.”

Melalui program amal seumpama ini, pihak universiti berharap dapat mendidik warganya untuk lebih prihatin, bertanggungjawab dan bersikap endah antara satu sama lain bagi melahirkan modal insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE